Tinggal sendirian dalam pondok sempit

Jumbari (kanan) menziarahi Ahmad Azman yang menumpang teduh di sebuah pondok sempit serba daif di Pusat Pemasaran Padi Bagan Terap milik PPK Sungai Besar hari ini.
Jumbari (kanan) menziarahi Ahmad Azman yang menumpang teduh di sebuah pondok sempit serba daif di Pusat Pemasaran Padi Bagan Terap milik PPK Sungai Besar hari ini.
A
A
A

SUNGAI BESAR - Kesempitan hidup menyebabkan seorang lelaki terpaksa menumpang teduh di sebuah pondok sempit serba daif di Pusat Pemasaran Padi Bagan Terap milik Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Besar.

Ahmad Azman Sulaiman, 48, berkata, dia yang tidak pernah berumahtangga tinggal bersendirian di pondok yang dibina daripada kayu dan atap zink itu sejak kira-kira lima bulan lalu.

Menurutnya, sebelum ini dia mendiami perpustakaan terbiar di Kampung Bagan Terap, namun selepas bangunan itu dirobohkan dia hilang tempat tinggal.

"Saya berterima kasih kepada PPK Sungai Besar kerana bermurah hati membenarkan saya menetap di sini.

"Walaupun keadaan pondok ini kecil dan sempit, tapi saya bersyukur kerana masih ada pihak prihatin dengan nasib dialami," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini hari ini.

Ahmad Azman berkata, pondok itu tidak mempunyai tandas selain terpaksa menarik bekalan elektrik daripada pondok pengawal keselamatan.

"Saya berulang-alik ke tandas awam di pusat pemasaran yang terletak berhampiran pondok ini untuk mendapatkan bekalan air," katanya.

Ahmad Azman berkata, dia hidup serba kekurangan kerana hanya bergantung harap kepada upah mengait kelapa sawit dan wang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan.

Artikel Berkaitan:

"Biasanya pendapatan termasuk bantuan (JKM) hanyalah RM400 sebulan, tapi perbelanjaan itu digunakan untuk belanja makan dan bayar hutang motosikal.

"Pendapatan saya memang tidak mencukupi untuk saya tinggal lebih selesa, apatah lagi kaki kanan saya membengkak akibat kemalangan jalan raya," katanya.

Kesengsaraan dihadapi Ahmad Azman mendapat perhatian Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Parit 12 Timur, Jumbari Ashari yang bertandang ke pondok sempit itu.

Jumbari berkata, masalah dihadapi Ahmad Azman akan dimaklumkan kepada amil kariah untuk dibawa kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

"Kita berharap rintihan Ahmad Azman mendapat perhatian daripada LZS termasuk membantu menyediakan sebuah rumah sewa yang lebih selesa.

"Kami sentiasa prihatin terhadap nasib dialami mereka yang kesempitan hidup dan sedaya upaya menyelesaikan masalah dihadapi," katanya.