Belanjawan 2021: Guru minta WiFi, gajet percuma untuk sekolah

Menjelang hari pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November ini, warga pendidik berharap supaya peruntukan terus diberikan dalam bidang pendidikan terutama dalam aspek kemudahan akses internet.
Menjelang hari pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November ini, warga pendidik berharap supaya peruntukan terus diberikan dalam bidang pendidikan terutama dalam aspek kemudahan akses internet.
A
A
A

SHAH ALAM - Menjelang hari pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November ini, warga pendidik berharap supaya peruntukan terus diberikan dalam bidang pendidikan terutama dalam aspek kemudahan akses internet.

Selain itu, mereka turut berharap agar bantuan kepada golongan B40 dan M40 diutamakan bagi menempuhi situasi getir ketika pandemik Covid-19 masih melanda negara.

Guru Cemerlang Sains Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun di Kedah, Norhailmi Abdul Mutalib berkata, beliau berharap dalam ketidaktentuan akibat Covid-19, kerajaan menerusi Belanjawan 2021 dapat menumpukan usaha meningkatkan kualiti pembelajaran untuk menggalakkan ‘remote learning.

“Saya harap kerajaan dapat memperuntukkan kemudahan internet dan gajet kepada sekolah, guru dan murid terutamanya di kawasan pedalaman dan murid berisiko,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau yang merupakan finalis 50 utama Hadiah Guru Global 2020 berkata, ketika ini, tiada pilihan selain memanfaatkan teknologi dan aplikasi pendidikan dalam talian terutama di lokasi pedalaman.

Perkara tersebut juga diperakui guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Desaminium, Puchong, Ooi Kem Yon.

Kem Yon berkata, memandangkan kebanyakan masalah utama ketika melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PnP) adalah aspek internet dan peranti elektronik, sudah tiba masanya perkara ini diutamakan dalam pembentangan Belanjawan 2021.

“Saya berharap Wifi percuma perlu diusahakan kerana ia telah menjadi keperluan asas buat semua.

Artikel Berkaitan:

“Kemudahan gajet di sekolah untuk mengendalikan kelas dalam alam maya perlu dipertingkatkan lagi agar guru dan pelajar dapat memperkasakan pembelajaran dalam talian dengan lebih efisien,” katanya.

Bagi guru Bahasa Inggeris, Samuel Isaiah dari SK Runchang, Muadzam Shah di Pahang, beliau berharap bidang pendidikan anak-anak orang asli mendapat perhatian pihak kerajaan.

Beliau yang terpilih sebagai salah seorang daripada 10 finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020 memberitahu, sebagai guru yang mengajar di sekolah orang asli, beliau juga menyarankan agar kerajaan melibatkan pihaknya sebelum sebarang keputusan dibuat membabitkan orang asli.

“Mungkin sebelum ini mereka terlibat dalam perbincangan bagaimanapun tidak aktif, jadi saya berharap polisi yang berkaitan mereka perlu melibatkan mereka secara langsung.

"Saya juga berharap usaha untuk menaikkan adat dan kebudayaan orang asli di sekolah-sekolah yang tiada golongan ini perlu diperkasakan. Saya percaya selama ini murid lain tidak dapat pendedahan mengenai orang asli dan siapa mereka ini.

“Saya rasa jika kita perkenalkan sistem ini dalam pendidikan, ia boleh memartabatkan dan meningkatkan keyakinan anak-anak orang asli dan penglibatan mereka di peringkat nasional,” katanya.

Bagi guru SK Simpai Pekan di Pahang, Mohamad Sahaimi Zainal, beliau berharap agar kerajaan terus membantu menyalurkan kewangan kepada pihak sekolah.

Beliau juga aktif turun padang membantu golongan ibu bapa terjejas dari segi pendapatan ketika pandemik Covid-19.

“Ini sebab melalui bantuan tersebut, warga sekolah boleh menyalurkan bantuan itu kepada golongan pelajar yang daif bagi memastikan anak-anak ini mendapat pendidikan yang sempurna,” katanya.

Sementara itu, guru dari SMK Mutiara Rini di Johor Bahru, A Niwashini turut berpendapat Belanjawan 2021 perlu memberi perhatian serius kepada pelajar kurang berkemampuan.

“Memandangkan sesetengah negeri di negara ini sama ada berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ataupun tidak, sekolah terpaksa ditutup.

“Walaupun, pihak sekolah khususnya guru bertungkus lumus sedang menjalankan Proses Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dalam bentuk maya, masih terdapat pelajar yang tercicir akibat kekangan tiada liputan internet di kawasan mereka serta tiada peranti untuk mereka menimba ilmu.

“Oleh itu, saya berharap melalui belanjawan 2021, sektor pendidikan khususnya bagi pelajar yang kurang berkemampuan dapat diberikan perhatian,” katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Fazri Hassan merupakan guru Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SK Gas Sandakan di Sabah mengharapkan lebih banyak kelas pendidikan khas (PPKI) dibuka untuk memastikan murid berkeperluan khas (MBK) mendapat pendidikan yang sempurna.

“Bagi saya keutamaan ini patut diberikan kepada sekolah -sekolah yang mempunyai ramai murid MBK tetapi tidak mempunyai kelas Pendidikan Khas (PPKI).

“Selain itu, saya juga berharap lebih banyak sekolah-sekolah khas dibuka sama ada sekolah rendah ataupun sekolah menengah dan sekolah menengah vokasional (untuk pendidikan khas) agar MBK di Malaysia mendapat peluang untuk mengembangkan potensi dalam diri mereka,” katanya.

Cikgu Roslinda Abdullah dari SK Bagan Serai, Perak pula mohon belanjawan kali ini menyediakan peruntukan untuk kenaikan gaji guru setiap tahun mengikut gred.

"Saya harap kerajaan dapat kaji semula kenaikan gaji guru dan selaraskan elaun COLA guru di luar bandar juga," katanya.

Kata beliau, cukai pendapatan penjawat awam dikurangkan dan beri keistemewaan kepada pembayar cukai.

"Selain itu, semua pelajar dan guru perlu menerima data mudah alih percuma berjumlah 10G sebulan untuk tujuan PdPc alaf baharu ke arah pendigitalan dan alam maya.

"Saya juga cadangkan agar kebajikan guru dalam pelbagai aspek dijaga seperti juga sektor lain khususnya memberi keistimewaan untuk guru membeli rumah pertama," katanya.