Pungguk rindukan air di bulan

Saintis mungkin sudah menjumpai air di bulan tetapi manusia di bumi masih bergelut untuk mendapat bekalan air bersih.
Saintis mungkin sudah menjumpai air di bulan tetapi manusia di bumi masih bergelut untuk mendapat bekalan air bersih.
A
A
A

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat pada Isnin lalu mengumumkan penemuan molekul air buat pertama kalinya di sebuah kawah gergasi bernama Clavius di hemisfera selatan bulan.

Apa yang menarik adalah kawasan itu menerima cahaya matahari secara terus. Kalau di tempat panas pun ada air, di bahagian gelap bulan yang terlindung daripada matahari tentulah ada air juga.

Tok Ki difahamkan air yang di-temui itu adalah sama seperti air yang kita minum di bumi. Tetapi, kandungannya sangat sedikit. Beberapa ribu kilogram tanah bulan perlu diproses untuk mendapatkan satu kilogram air tersebut.

Obsesi NASA terhadap eksperimen di bulan sudah lama sehinggakan Tok Ki tidak terfikir ia akan dikaitkan dengan masalah bekalan air di Selangor.

Isu itu juga telah menarik perhatian saintis molekul Amerika Syarikat, Raven Baxter. Menurut Baxter, sebahagian besar retweet di posting Twitternya mengenai penemuan NASA itu adalah daripada orang di Selangor yang berkongsi masalah air mereka.

Baxter menjelaskan bahawa gangguan air di Malaysia itu disebabkan oleh pencemaran sumber air mentah.

Dalam siri balasan kepada pengguna lain, Baxter mengatakan dia mengetahui tentang masalah tersebut selepas menggunakan Google Translate untuk memahami beberapa reaksi yang disiarkan dalam bahasa Melayu.

Saintis itu mungkin sudah menjumpai air di bulan tetapi manusia di bumi masih bergelut untuk mendapat bekalan air bersih.

Artikel Berkaitan:

Tok Ki harap isu air di Selangor diberi perhatian serius dan segera diselesaikan. Orang Selangor pastinya tidak mahu menjadi seperti pungguk rindukan bulan.

Isu pemain naturalisasi asing pertama negara, Mohamadou Sumareh terus hangat diperkatakan di media sosial.

Sumareh, 26, mencetuskan kontroversi apabila dia meninggalkan pasukan Pahang dan menyertai kelab Polis Tero di Thailand pada Ogos lalu.

Baru-baru ini pula, tindakan Sumareh mempersendakan keputusan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) dengan hantaran grafik GIF gelak ketawa di laman Instagramnya mengundang rasa tidak senang peminat bola sepak tanah air.

Malah, kenyataan pemain sayap itu yang menganggap hukuman penggantungan dua tahun oleh PBNP sebagai melucukan dianggap tidak mengenang budi dan tidak menghormati keputusan bekas pasukan yang banyak berkorban terutama dalam memudahkan urusan permohonan kerakyatan Malaysianya sebelum ini.

Perkara itu dikatakan bermula disebabkan isu gaji tidak dibayar. Tok Ki faham bab duit usah dibuat main, silap hari bulan ada kerusi melayang.

Tok Ki percaya ramai di luar sana masih kekal bekerja dengan majikan yang sama walaupun gaji mereka dipotong, dibayar separuh malah tertunggak beberapa bulan.

Namun, lain padang lain belalang. Pemain berbakat seperti Sumareh ada saja ladang lebih hijau yang tersedia untuknya berhijrah.

Cuma Tok Ki harap Sumareh tidak jadi kacang lupakan kulit. Apatah lagi Sumareh telah menghabiskan lebih banyak usianya untuk bersekolah dan bermain bola di Malaysia berbanding negara asalnya, Gambia.

Kepada warganet, tak payahlah gaduh sangat pasal Sumareh. Biarlah Sumareh selesaikannya secara baik dengan PBNP. Seperti menarik benang dalam tepung, benang tidak putus, tepung tidak berselerak.

Rakyat Brunei dikejutkan dengan kemangkatan Pengiran Muda Abdul Azim, anakanda Sultan Hassanal Bolkiah pada Sabtu minggu lalu.

Anak raja berusia 38 tahun itu menghidap penyakit autoimun yang kronik, menyebabkan antibodi menyerang tisunya sendiri sejak awal tahun ini.

Tok Ki sekadar dapat mengucapkan takziah kepada keluarga diraja itu dan rakyat Brunei yang terkesan dengan pemergian Abdul Azim. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

Walaupun Abdul Azim terkenal dalam kalangan selebriti Hollywood dan kehidupan peribadi banyak dijaja dalam media Barat, bagi Tok Ki cukuplah kita mengingati kebaikan-kebaikan orang yang sudah tiada.