'Tolong ambil tanggungjawab'

Laporan Sinar Harian 28 Oktober lalu.
Laporan Sinar Harian 28 Oktober lalu.
A
A
A

Pasukan-pasukan Liga Malaysia (Liga-M) luar Lembah Klang disaran secara sukarela menawarkan diri sebagai tuan rumah kepada pasukan-pasukan Lembah Klang yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada saingan TM Piala Malaysia yang dijadualkan bermula pada 6, 7 dan 8 November ini.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa, pasukan-pasukan luar Lembah Klang yang tidak terjejas dengan PKPB perlu mengambil tanggungjawab selepas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan tidak akan menyalurkan peruntukan atau subsidi bagi menampung kos tambahan.

“Saya percaya semua pasukan-pasukan Lembah Klang yang terlibat dengan PKPB akan terjejas dengan pertambahan kos tambahan apabila beraksi sebagai tuan rumah pada saingan Piala Malaysia kali ini.

“Jadi pada masa ini perlu ada rasa kebertanggungjawaban dalam kalangan pasukan-pasukan lain untuk mengambil tanggungjawab menawarkan diri sebagai tuan rumah untuk saingan Piala Malaysia kali ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

MFL sebelum ini menegaskan tidak akan membantu dari segi kewangan sekiranya ada pasukan yang terkesan berikutan PKPB terpaksa mengeluarkan belanja lebih beraksi di luar gelanggang rasmi mereka.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, pasukan yang terlibat perlu menanggung perbelanjaan itu sendiri sebaliknya pihaknya akan hanya menjadi medium pemudahcara untuk mencari venue latihan atau pertandingan.

Untuk rekod pasukan-pasukan Liga-M dari Lembah Klang yang bakal mengharungi saingan Piala Malaysia musim ini adalah Selangor, PJ City, UiTM FC dan Kuala Lumpur.

Pada masa sama Mohd Sadek menyarankan MFL mengadakan perlawanan akhir TM Piala Malaysia musim ini di luar Lembah Klang berikutan situasi semasa pandemik Covid-19 yang melanda negara pada ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Malah menurut Mohd Sadek, dengan prosedur operasi standard (SOP) yang tidak membenarkan kehadiran penonton langkah mengadakan perlawanan akhir piala berprestij bola sepak negara di luar Lembah Klang dilihat sebagai sesuatu yang wajar.

“Pada satu sudut final kali ini tidak mendatangkan keuntungan kepada kedua-dua pihak sebaliknya keutamaan perlu diberikan kepada meningkatkan aspek keselamatan dan kesihatan pemain, jurulatih dan pegawai pertandingan kerana berlangsung dalam suasana pandemik Covid-19 yang mana sukar dijangkakan pengakhiran wabak ini.

“MFL perlu merancang venue perlawanan akhir Piala Malaysia ini lebih awal kerana dengan situasi tidak menentu kes pandemik Covid-19, sebaik-baiknya dianjurkan perlawanan akhir di negeri Zon Hijau pantai timur seperti Terengganu dan Kelantan,” katanya.

Untuk rekod format saingan piala tertua pertandingan bola sepak negara musim ini terpaksa diubah kepada saingan kalah mati bermula dengan pusingan pertama sehingga ke pusingan suku akhir yang dijadualkan berlangsung pada 12 dan 13 November depan.

Sementara itu bagi aksi separuh akhir pula dijadualkan berlangsung pada 17 November tanpa aksi timbal balik sebelum perlawanan akhir pada 22 November.