Nilai semula hubungan ketenteraan dengan Perancis

Kerajaan diminta menilai kembali hubungan ketenteraan bersama Perancis terutama berkaitan pembekalan peralatan berikutan kenyataan anti-Islam yang dikeluarkan Emmannuel Macron baru-baru ini.
Kerajaan diminta menilai kembali hubungan ketenteraan bersama Perancis terutama berkaitan pembekalan peralatan berikutan kenyataan anti-Islam yang dikeluarkan Emmannuel Macron baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diminta menilai kembali hubungan ketenteraan yang dijalin bersama Perancis terutama berkaitan pembekalan peralatan berikutan kenyataan anti-Islam yang dikeluarkan Presiden republik tersebut, Emmannuel Macron baru-baru ini.

Bekas Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi berkata, Malaysia berhadapan risiko besar apabila dilihat banyak bergantung kepada syarikat Perancis dalam hal perbekalan dan penyelenggaraan peralatan kritikal pertahanan negara.

“Bukan sekadar aneh tetapi membahayakan jika sebuah negara majoriti dan berkepimpinan Islam seperti Malaysia boleh terus yakin akan keikhlasan rakan kongsi ketenteraan daripada negara yang dipimpin seorang yang anti-Islam seperti Macron sekarang.

“Perancis bukan sekadar membekalkan kapal selam Scorpene ke Malaysia, malah kesemua kapal Frigate kelas KD Maharaja Lela dibekalkan teknologinya oleh syarikat Perancis dan masih didukung penyelenggaraannya oleh pembekal-pembekal negara tersebut,” katanya di Facebook hari ini.

Menurutnya, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga dilihat terpaksa bergantung kepada bantuan kepakaran Perancis kerana kurangnya unsur perkongsian teknologi dalam pembuatan kapal-kapal tersebut oleh beberapa anak syarikat Boustead Holdings milik majoriti LTAT.

"Kebergantungan ketenteraan Malaysia juga tidak terhad kepada TLDM sahaja kerana difahamkan kapal terbang yang digunakan angkatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) masih diselenggara anak syarikat Airbus di Malaysia.

“TUDM masih menggunakan kapal terbang Airbus A400M yang dibekalkan syarikat Airbus Defence and Space yang mana pemegang saham terbesarnya Perancis iaitu sebanyak 11.1 peratus.

“Seharusnya amatlah mencemaskan apabila peralatan ketenteraan negara kita masih bergantung kesiap sediaannya kepada pakar-pakar runding dari sebuah negara yang Presidennya sedia memaparkan dirinya sebagai anti-Islam," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerajaan perlu sekurang-kurangnya menangguh apa-apa rencana dan perhubungan ketenteraan bersama republik tersebut terutama dalam hal perbekalan peralatan mahupun pergantungan sedia ada terhadap kapal selam Scorpene, kapal Frigate dan kapal terbang Airbus A400M.