Jadilah pemimpin yang dikasihi

A
A
A

SESUNGGUHNYA dunia ini amat indah. Betapa indahnya dunia ini digambarkan secara bersahaja dalam lirik lagu yang dinyanyikan oleh Louis Armstrong bertajuk What a wonderful world pada tahun 1967.

Menerusi lirik tersebut, dunia dikatakan indah kerana adanya pohon kehijauan dan bunga ros yang begitu mekar berkembang. Malah, dilitupi langit biru dan awan putih serta adanya siang dan malam yang penuh berkat.

Terdapat juga pelangi yang cantik dan pelbagai ragam manusia yang bertanya khabar serta berkasih sayang sesama mereka. Indahnya dunia kerana dapat melihat bayi yang menangis dan membesar serta mempelajari banyak perkara dalam hidup.

Ralit sungguh saya mendengar lagu itu dan berasa amat bersyukur berada di dunia ini. Namun, bagi menjaga dunia yang indah, kita perlukan khalifah atau pemimpin yang adil dan amanah.

Pentingnya seorang pemimpin sebagaimana Nabi SAW bersabda: “Apabila tiga orang keluar bermusafir, maka hendaklah salah seorang daripada mereka dilantik sebagai ketua.” (Hadis Riwayat Abu Daud).

Malah, keutamaan kita menghormati pemimpin seperti firman ALLAH: “Wahai orang-orang beriman, taatlah kamu kepada ALLAH dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. (Surah An-Nisa, 4:59).

Selain itu, Rasulullah SAW pernah bersabda: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan ditanya tentang rakyat yang berada di bawah kawalannya. Orang lelaki adalah pemimpin dalam ahli keluarganya dan bertanggungjawab terhadap keluarga di bawah jagaannya.

Wanita adalah pemimpin dalam rumah suaminya dan bertanggungjawab terhadap anak-anak yang berada di bawah jagaannya. Khadam bertanggungjawab terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang berada di bawah jagaannya.” (Hadis Riwayat Bukhari).

Artikel Berkaitan:

Sebetulnya, seseorang pemimpin menjadi hebat kerana diberi kuasa dan mempunyai kuasa. Apabila mereka mempunyai kuasa, sewajarnya mereka melindungi dan menjaga kebajikan rakyat yang memberi kuasa kepada mereka.

Walaupun ada rakyat yang berharta dan bergeliga serta mampu menguruskan individu yang susah di sekeliling mereka, namun itu setakat kemampuan mereka sahaja kerana mereka tiada kuasa.

Besarnya kuasa yang ada pada pemimpin membolehkan mereka merencanakan undang-undang dan dasar-dasar berkaitan yang boleh membantu kemakmuran rakyat dalam jangka masa panjang.

Kuasa

Ingatlah, tugas pemimpin berat sebenarnya. Rakyat tidak akan mengasihi pemimpin selagi keperluan hidup mereka tidak dipenuhi. Cukuplah dengan hanya mengagihkan ‘hamper’ rumah ke rumah, bertandang ke kenduri kahwin, membeli jersi bola untuk anak-anak muda dan menjadi tukang rasmi bagi mendapat sokongan rakyat.

Kesemuanya adalah perlu, namun tidak penting kerana yang diutamakan adalah mendapat kerja yang baik untuk mereka dan anak-anak, bekalan barangan tidak melambung tinggi, kemudahan asas yang terjaga, ada tempat tinggal selesa, pendidikan anak-anak di sekolah dan universiti dibantu, kualiti perkhidmatan kesihatan dipertingkatkan dan kesemua perkara yang boleh menjaga maruah mereka.

Berkaitan nasib rakyat yang susah, bergenang air mata saya menghayati bait-bait puisi Pak Rendra bertajuk ‘Orang-orang Miskin’. Tulis Pak Rendra: “Jangan bilang negara ini kaya kerana orang-orang berkembang di kota dan di desa. Jangan kamu bilang dirimu kaya bila tetanggamu memakan bangkai kucingnya.”

Pada hemat saya, pemimpin perlu kembali kepada ALLAH SWT sebagai seorang hamba yang penuh kekurangan dan kelemahan.

Menurut Ibnu Qayyim al-Jauziyah menerusi bukunya Miftah Daris Sa’adah: “Dengan kesungguhan melawan syahwat dan keinginan peribadi, akar cinta kepada ALLAH semakin kuat dan menegakkan pohon cinta di dalam hati, manakala buahnya dapat terasa oleh semua anggota tubuh.

"Semoga dengan keredaan ALLAH, pemimpin dikurniakan amanah dan dikasihi oleh rakyatnya."

* Prof Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis