Anggota Rela maut motosikal terbabas digilis lori

Mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian pinggang dalam kemalangan di Jalan Subang - Sungai Buloh hari ini.
Mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian pinggang dalam kemalangan di Jalan Subang - Sungai Buloh hari ini.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Seorang anggota wanita Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) meninggal dunia selepas motosikal diboncengnya bergesel sebuah lori lalu terjatuh dan digilis di Jalan Subang - Sungai Buloh di sini hari ini.

Mangsa, Shahrul Rina Mohamad, 40, yang membonceng motosikal jenis Honda Dash bersama rakannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 1.50 petang.

Seorang lagi mangsa, Suzilawati Abdul Rahim, 40, yang menunggang motosikal itu pula cedera dan sedang menerima rawatan di Hospital Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila motosikal dinaiki mangsa dari arah Subang hilang kawalan lalu bergesel dengan lori dipandu lelaki berusia 37 tahun.

"Shahrul Rina jatuh di sebelah kanan lori sebelum diseret lori itu sejauh 19.5 meter dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada pinggang,

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 21 saat menunjukkan keadaan penunggang serta pembonceng motosikal berkenaan sejurus selepas kemalangan berlaku hari ini.

Artikel Berkaitan: