Ketepikan ego, kepentingan diri

A
A
A

Dua minggu ke hadapan ini barangkali tempoh paling getir buat politik negara.

Penolakan pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong selepas Seri Paduka Baginda memperhalusi cadangan dan bermesyuarat dengan Raja-raja Melayu pada Ahad lalu dilihat menjadi titik perubahan yang menentukan untung nasib kerajaan Perikatan Nasional (PN). Ketika ini nasib kerajaan PN ibarat seperti abu di atas tunggul.

Isu utama yang terdekat sudah tentulah nasib Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. Penolakan pengisytiharan darurat itu sudah tentu membuka ruang kepada pembangkang kembali mengugut beliau dengan usul undi tidak percaya di Parlimen. Kalau tidak pun, mungkin ada usaha untuk menggagalkan pembentangan Belanjawan 2021 pada November ini.

Dua senario itu jelas menunjukkan gentingnya kedudukan beliau dan kerajaannya ketika ini. Walaupun Agong bertitah agar semua ahli politik berhenti main politik buat seketika bagi memerangi koronavirus (Covid-19), reaksi ahli politik nampaknya masih belum menuju ke arah itu. Kalau ada pun, ia nampak tidak ikhlas dan berkias-kias.

Memang ada beberapa cadangan yang baik sebagai penyelesaian. Pertama, melakukan genjatan politik. Ia sudah berlaku selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan sokongan kepada kerajaan PN ketika isu surat sokongan kepada ‘Langkah Oktober’ Datuk Seri Anwar Ibrahim hangat diperkatakan. Sayang, ia hanya bertahan seketika dan kembali berantakan selepas ‘Operasi Darurat’ Muhyiddin tidak berjaya.

Kedua, mewujudkan sebuah kerajaan gabungan kebangsaan (National Coalition Government) sebagai satu usaha rekonsiliasi politik bagi memenuhi titah Agong untuk sekurang-kurangnya memastikan Belanjawan 2021 mendapat sokongan, sekali gus diluluskan. Kelulusan itu perlu bagi menjamin kerajaan dapat terus berbelanja untuk memerangi Covid-19 dan merangsang kembali ekonomi negara.

Cuma, bolehkah ia berlaku? Dalam sejarah politik negara, ia pernah terjadi. Lihat bagaimana tragedi berdarah 13 Mei 1969 telah memungkinkan kerjasama politik pelbagai parti mendokong kerajaan bagi menyelesaikan perkara itu. Malah, ia diteruskan dengan penubuhan Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah gabungan besar kerjasama rasmi parti-parti politik yang menyatukan hampir semua parti politik negara (kecuali DAP) atas dasar kepentingan negara.

Formula

Ketika itu, ego dan kepentingan peribadi diketepikan. Semua pihak berjiwa besar meletakkan kepentingan dan pembangunan negara serta perpaduan kaum sebagai keutamaan. Walaupun tidak sempurna tetapi jelas terbukti berjaya membawa negara kembali ke landasan tepat. Itulah formula yang membawa kestabilan politik, lantas menghasilkan pembangunan dan kemakmuran kepada negara.

Artikel Berkaitan:

Namun, ia mungkin tidak berlaku dalam situasi sekarang. Perkembangan semasa memperlihatkan orang politik sukar membuang ego dan kepentingan peribadi melebihi kepentingan negara. Memang ada usaha untuk rekonsiliasi, malah ada yang mencadangkan kerajaan gabungan. Malangnya, cadangan orang politik itu seperti gergaji dua mata. Persis enau dalam belukar, hanya mahu melepaskan pucuk masing-masing.

Dalam tempoh sukar, susah sangatkah bekerjasama sebagai satu unit politik? Mengapa tidak menggunakan kesempatan itu untuk kembali melakukan tugas hakiki yang diamanahkan. Kerajaan mahupun pembangkang, anda adalah sebahagian pemerintahan negara yang bertanggungjawab untuk kesejahteraan semua. Tidakkah kalian sedar bahawa rakyat sudah terlampau marah dan menyampah?

Tiada apa lagi yang dapat diharapkan, melainkan kalian segera bertindak. Segeralah duduk semeja dan berbincang. Buanglah ego, dendam dan amarah seketika. Yang penting, bukanlah siapa jadi Perdana Menteri atau parti mana menjadi kerajaan tetapi kelangsungan negara. Jika negara binasa, semua pihak akan sama merana. Dengarlah rintihan kami, cukup-cukuplah berkelahi kerana yang kamu pertaruhkan adalah hidup kami.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seremban