Lebih 16,000 katil untuk rawat pesakit seluruh negara

Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 40 peratus daripada 16,060 katil untuk rawatan pesakit koronavirus (Covid-19) di hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di seluruh negara sedang digunakan setakat 10 malam semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 44 hospital Kementerian Kesihatan (KKM) dan dua hospital pengajar yang menyediakan perkhidmatan untuk pesakit Covid-19 yang menempatkan 3,825 katil dengan kadar penggunaan 54 peratus.

“KKM turut menyediakan katil tambahan menerusi PKRC di seluruh negara di mana sehingga kini terdapat 60 PKRC sedang beroperasi dengan kapasiti katil sebanyak 12,235 dan kadar penggunaannya adalah 36 peratus.

"Di Sabah pula, sembilan daripada 24 hospital kerajaan digunakan sebagai Hospital Hybrid Covid-19 yang menyediakan perkhidmatan untuk pesakit Covid-19 dan pada masa sama meneruskan untuk lain-lain perkhidmatan perubatan,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di KKM di sini hari ini.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 1,007 katil untuk pesakit Covid-19 disediakan di sembilan hospital itu dengan kadar penggunaan sebanyak 77 peratus, manakala di 28 PKRC kapasiti katil sebanyak 7,368 dengan kadar penggunaan 43 peratus.

"Ini menjadikan bilangan keseluruhan katil untuk rawatan pesakit Covid-19 di hospital dan PKRC di Sabah adalah 8,375 dengan kadar penggunaannya sebanyak 47 peratus," katanya.

Katanya, meskipun terdapat pertambahan kes baharu setiap hari yang dilaporkan terutama di Sabah, namun terdapat juga banyak kes discaj dalam jumlah yang banyak dilaporkan setiap hari.

“Oleh itu, katil yang kosong ini boleh digunakan pula untuk kes baharu. Selain itu, KKM sentiasa menilai situasi semasa dan mempunyai perancangan meningkatkan lagi kapasiti katil sekiranya diperlukan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: