X

Kindly register in order to view this article
!

RO turun bawah 0.5 dalam tempoh 2 minggu jika ikut SOP

Kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (R0) Covid-19 dalam negara boleh diturunkan kepada bawah 0.5 dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi jika semua pihak mematuhi SOP ditetapkan.
A
A

PUTRAJAYA - Kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (R0) Covid-19 dalam negara boleh diturunkan kepada bawah 0.5 dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi jika semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, kadar R0 berjaya diturunkan daripada 2.0 pada peringkat awal gelombang ketiga kepada 1.0 ketika ini, berbanding unjuran sebelum ini pada kadar 1.5.

"Semalam kita hanya dapat 649 kes dan hari ini kita ada 799 kes (baharu), tetapi kalau mengikut unjuran R0 1.5 sepatutnya hari ini kita dapat 1,300 kes.

"Bererti selepas dua minggu PKPB, kita berjaya melandaikan lengkung tersebut iaitu kurang daripada 1.5. Setakat ini, untuk Malaysia kita sudah capai (R0) 1.0," katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Menurutnya, justeru Kementerian Kesihatan akan terus mempertingkat aktiviti kesihatan awam serta saringan dalam komuniti, dan memerlukan kerjasama rakyat Malaysia khususnya di empat negeri yang dikenakan PKPB untuk patuh kepada SOP.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, kes Covid-19 di bahagian pantai timur Sabah mula menunjukkan fasa penurunan, namun kes di pantai barat pula masih mencatatkan peningkatan.

"Contohnya Semporna, pengesanan kes pada peringkat awal adalah kira-kira 60 peratus iaitu daripada 10 individu yang disaring, enam kes adalah positif Covid-19," katanya.

Bagaimanapun, katanya aktiviti pengawasan dan saringan yang dijalankan dalam tempoh dua minggu telah berjaya menurunkan kadar pengesanan di daerah itu.

"Cabaran kita sekarang di pantai barat iaitu Kota Kinabalu, Putatan, Penampang dan sebagainya yang masih dalam fasa peningkatan, jadi kita harap dapat kawal dalam tempoh dua minggu lagi.

"Dalam tempoh dua minggu sebelum ini, kita dah dapat kurangkan R0 daripada 2.2 kepada 1.0. Kita berjaya tetapi kita belum menang dan kita kena usaha lebih lagi untuk kurangkan bawah daripada 0.5," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!