[VIDEO] 3.8 juta batang rokok seludup dirampas

Azuhar (kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada 3.8 juta batang rokok seludup yang berjaya dirampas oleh PPM Wilayah Tiga Tok Bali dalam serbuan di pengkalan Ubi Keling, Kuala Besut, Terengganu malam tadi.
Azuhar (kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada 3.8 juta batang rokok seludup yang berjaya dirampas oleh PPM Wilayah Tiga Tok Bali dalam serbuan di pengkalan Ubi Keling, Kuala Besut, Terengganu malam tadi.
A
A
A

PASIR PUTEH - [DIKEMAS KINI] Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Tok Bali merampas rokok seludup dan tiga buah bot pelancong dianggarkan berjumlah RM4 juta dalam serbuan di pengkalan Ubi Keling, Kuala Besut, Terengganu malam tadi.

Serbuan jam 10.30 malam itu hasil maklumat dan risikan PPM serta orang awam membawa kepada rampasan sebanyak 3.8 juta batang rokok putih yang disembunyikan di dalam bot berkenaan.

Ketua Bahagian Operasi Risik PPM Wilayah Tiga, Deputi Superintendan Azuhar Md Nor berkata, siasatan awal mendapati penyeludup menggunakan modus operandi baharu dengan menyembunyikan rokok-rokok tersebut dalam bot pelancong.

"Sebelum itu, rokok-rokok putih dari negara jiran ini dibawa oleh kapal kargo melalui perairan antarabangsa ke tengah laut.

"Rokok-rokok itu kemudian dipindahkan ke bot-bot pelancongan untuk dibawa masuk ke perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang menggunakan kuala serta sungai yang terdapat di sepanjang pantai," katanya pada sidang akhbar di Markas PPM Wilayah Tiga Tok Bali di sini hari ini.

Anggota PPM Wilayah Tiga Tok Bali turut menyita bot pelancong yang digunakan untuk menyembunyikan rokok seludup.
Anggota PPM Wilayah Tiga Tok Bali turut menyita bot pelancong yang digunakan untuk menyembunyikan rokok seludup.

Azuhar berkata, PPM Wilayah Tiga Tok Bali tidak menolak kemungkinan rokok putih yang dirampas itu untuk pasaran pantai barat.

Menurutnya, semasa serbuan dijalankan, kumpulan penyeludup berkenaan terus melarikan diri sejurus menyedari kehadiran anggota PPM.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pemeriksaan ke atas bot pertama membawa kepada penemuan sebanyak 12,000 karton rokok, manakala bot kedua pula, pihaknya telah temui 4,000 karton rokok seludup.

"Bot ketiga sebanyak 3,000 karton rokok putih telah ditemui dan kesemua barangan seludup tersebut ditutup dengan kanvas bagi mengaburi mata anggota penguat kuasa," katanya.

Azuhar berkata, kejayaan rampasan itu terus menjadi pembakar semangat kepada PPM Wilayah Tiga untuk perhebatkan lagi kawalan di perairan negara menerusi aktiviti rondaan.

Menurutnya, rondaan menggunakan bot, kereta dan jalan kaki akan turut dilakukan bagi memastikan aktiviti jenayah berjaya dikurangkan.