X

Kindly register in order to view this article
!

Sukar kawal Covid-19 jika PRK, PRN Sarawak diadakan: PM

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh (dua, kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Ahli Jawatankuasa Parlimen Pagoh Datuk Tahir Taat pada Majlis Perjumpaan Bersama Pemimpin Masyarakat Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh hari ini. - Foto Bernama
A
A

MUAR - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membayangkan kesukaran untuk mengawal penularan koronavirus (Covid-19) jika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diadakan dalam masa terdekat dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi yang ditetapkan pada 5 Disember ini.

Menurutnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada masa sama turut mengakui tiada pihak lain yang boleh membantu pihaknya untuk sama-sama turun padang melakukan kerja-kerja di luar kerana masing-masing takut terhadap wabak terbabit.

“Tidak lama lagi ada PRK Batu Sapi. Tidak lama lagi ada Pilihan Raya Negeri Sarawak, saya tidak pasti bagaimana cara kita hendak mengawal.

“Malahan sekarang bila hendak adakan PRK Batu Sapi, SPR kata tiada orang yang sanggup membantu SPR di luar, kenapa? Kerana takut Covid-19,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Pemimpin Masyarakat Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, beliau ada berbincang dengan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh untuk mengadakan sekatan-sekatan supaya tidak ada kempen untuk pilihan raya.

“(Cadangan mungkin) berkempen secara maya gunakan telefon (bimbit), gunakan radio, televisyen, itu mungkin boleh membantu mengurangkan (wabak),” katanya.

Katanya, bagi PRN Sarawak pula, sudah tentunya akan menyebabkan ratusan ribu orang Sarawak yang bekerja di Semenanjung pulang ke negeri mereka sekali gus membayangkan kesukaran untuk mengawal penularan berdasarkan situasi berkenaan.

“Pilihan raya seperti Sarawak yang akan datang, akan ada ratusan ribu orang Sarawak yang bekerja di Semenanjung, mereka akan pulang ke Sarawak, sama ada dari Selangor, dari Johor Bahru, Taiping, Pulau Pinang.

“Sebahagian mereka datang dari kawasan merah, yang ada wabak Covid-19 tetapi kerana hendak undi, mereka akan balik kampung, balik Sarawak. Siapa di sini, yang boleh jamin bahawa wabak Covid-19 ini boleh dapat dikawal?

“Kalau Pilihan Raya Negeri Sarawak, seluruh negeri besar, saya tidak tahu berapa ribu tenaga kerja yang diperlukan, saya tidak tahu sama ada mereka (petugas pilihan raya) akan datang keluar untuk membantu SPR menguruskan pilihan raya, sebab itu situasi sebeginilah yang agak mencemaskan,” kata Perdana Menteri. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!