Covid-19: Finas sedia pelan tindakan bantu panggung wayang

SAIFUDDIN
SAIFUDDIN
A
A
A

KUANTAN - Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sedang menyediakan pelan tindakan khusus untuk membantu panggung wayang yang perlu menghentikan sementara operasi, kesan daripada pandemik Covid-19.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Finas telah memulakan kerja menyediakan pelan itu sebaik sahaja mendengar ura-ura penutupan sementara panggung wayang ekoran kekurangan penonton pada masa ini.

Pelan bantuan itu, menurut Saifuddin sedang disiapkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan Timbalan Pengerusi agensi itu, Datuk Norman Abdul Halim.

"Kita juga akan menyemak jika boleh membantu mereka dalam soal pengecualian cukai hiburan yang terletak di bawah pihak berkuasa tempatan dan kita sedia berunding dengan pihak tersebut," katanya.

Saifuddin berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa ribut di Indera Mahkota 2, di sini hari ini.

Dalam kejadian sekitar jam 8 malam tadi, 85 rumah mengalami kerosakan bumbung.

Hari ini, dua pemilik rangkaian pawagam iaitu Golden Screen Cinemas (GSC) dan TGV Cinemas (TGV) dilaporkan akan menutup sementara operasi mereka mulai 2 November ini sebagai langkah mengawal penularan pandemik Covid-19 yang kembali meningkat sejak kebelakangan ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: