Maut dipukul, dibakar kerana aibkan al-Quran di Bangladesh

Gambar fail menunjukkan beberapa orang pelajar membaca kitab suci al-Quran di sebuah sekolah agama Islam di Bangladesh. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan beberapa orang pelajar membaca kitab suci al-Quran di sebuah sekolah agama Islam di Bangladesh. - Foto AFP
A
A
A

DHAKA - Seorang lelaki yang didakwa mengaibkan kitab suci al-Quran meninggal dunia selepas dipukul dan dibakar oleh beratus-ratus orang yang marah dengan tindakannya di sebuah bandar di Bangladesh semalam.

Pada mulanya, polis telah menahan dua lelaki selepas mereka bertindak melangkah kitab suci di dalam sebuah masjid bandar Burimari dekat sempadan India, kata polis.

Bagaimanapun, orang ramai yang marah bertindak menarik dan memukul kedua-dua lelaki berkenaan sehingga menyebabkan salah seorang daripada mereka maut manakala lelaki kedua sempat melarikan diri.

"Mereka memukul seorang lelaki sehingga mati dan membakar mayatnya," kata ketua polis daerah, Abida Sultana kepada AFP.

Sebelum insiden itu, dua lelaki berkenaan ditahan di sebuah pejabat perbandaran selepas terdapat dakwaan daripada jemaah Masjid Jame Burimari bahawa lelaki berkenaan mengaibkan al-Quran.

Polis berkata, lebih 1,000 orang menyerbu pejabat majlis perbandaran itu dan polis terpaksa melepaskan 17 kali tembakan bagi menenangkan orang ramai tetapi gagal untuk menghalang mereka daripada mengambil lelaki berkenaan yang berusia 35 tahun.

Mangsa kemudian dipukul sehingga mati sebelum sejumlah orang membakar pejabat tersebut.

Lelaki yang dipukul itu kemudian dibakar di jalanan.

Artikel Berkaitan:

Kejadian itu berlaku di tengah-tengah kemarahan sebahagian besar penduduk Muslim berhubung komen mengenai Islam yang dibuat oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

Puluhan ribu orang mengambil bahagian dalam perhimpunan anti-Macron dalam minggu ini di ibu kota Dhaka dan bandar pelabuhan, Chittagong. - AFP