Selangor peruntuk RM200 juta atasi masalah pencemaran air

Pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di Dewan Undangan Negeri, Shah Alam hari ini.
Pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di Dewan Undangan Negeri, Shah Alam hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM200 juta dalam mengambil beberapa langkah drastik bagi mengatasi insiden pencemaran sungai.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri akan melaksanakan Pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999 untuk meningkatkan bayaran denda bagi kesalahan pencemaran sumber air.

"Selain itu, kerajaan negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan menguatkuasakan pelaksanaan pelepasan efluen berdasarkan keupayaan kapasiti sungai iaitu aplikasi Total Maximum Daily Load (TMDL), di kawasan yang ditetapkan selaras Seksyen 56, Enakmen LUAS 1999 dan pelaksanaan Polluters Pay Principle (PPP), cadangan pindaan Enakmen LUAS akan diangkat untuk mendapatkan persetujuan dalam Persidangan Dewan Negeri," katanya.

Beliau berkata demikian pada pembentangan Belanjawan Selangor 2021 bertempat di Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.

Katanya, selain itu pelaksanaan Projek Perintis Rawatan Biologikal/Bio-Remediation Bagi Tujuan Pemuliharaan Kualiti Air Sungai Gong menggunakan kaedah kombinasi pendekatan biologi seperti perletakan bahan nano teknologi (aquaritin) dan kaedah fizikal seperti Raw Water Treatment System (RWTS) akan dijalankan.

"Projek perintis ini turut akan direplikasikan di Sungai Sembah, Sungai Beranang dan Sungai Buah.

"Kerajaan negeri, LUAS dan Air Selangor telah mengenal pasti tiga sungai ini yang menjadi punca utama pencemaran di Sungai Selangor dan Sungai Langat," katanya.

Tambahnya, untuk usaha berikutnya, pemantauan dan pengawasan melalui skuad Pantas akan dijalankan bagi membuat pemantauan 24 jam di kawasan sensitif sumber air di Lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, kerajaan negeri juga akan menambahkan bilangan stesen telemetri kualiti air bagi tujuan sistem amaran awal di hulu muka sauk yang berisiko.

"Kerajaan negeri akan melaksanakan projek pengepaman air mentah dari kolam takungan HORAS 600 di Sungai Selangor dan Kolam Takungan (Pond C) di Sungai Semenyih dalam usaha untuk menjamin tiada henti tugas ke atas operasi Loji Rawatan Air (LRA) SSP 1, 2, 3, LRA Rantau Panjang LRA Semenyih semasa berlaku insiden pencemaran sumber air," katanya.

Jelasnya, pelaksanaan empat projek ini akan bermula pada tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

"Kerajaan negeri memperuntukkan kos sebanyak RM200 juta.

"Kita yakin ini dapat mengurangkan sehingga 90 peratus risiko henti-tugas LRA SSP1, 2, 3, LRA Rantau Panjang dan LRA Semenyih 1 dan 2 yang menyebabkan gangguan bekalan air kepada 1.6 juta akaun pengguna akibat pencemaran," katanya.