Kerajaan pertimbang beri permit kerja sementara kepada PATI

Muhyiddin (tengah) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal (dua, kiri) dan ADUN Bukit Pasir Najib Lep (dua, kanan) pada program Sembang Santai bersama Masyarakat Cina dan Pertubuhan NGO Pagoh di Restoran Taman Pagoh hari ini. - Foto Bernama
Muhyiddin (tengah) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal (dua, kiri) dan ADUN Bukit Pasir Najib Lep (dua, kanan) pada program Sembang Santai bersama Masyarakat Cina dan Pertubuhan NGO Pagoh di Restoran Taman Pagoh hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

MUAR - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan sedang mempertimbang untuk memberi permit kerja sementara kepada pekerja asing tanpa izin yang berada di negara ini bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja asing dalam industri kelapa sawit dan getah.

Perdana Menteri berkata, kerajaan berusaha mencari jalan mengatasi masalah kekurangan pekerja asing dalam industri tersebut terutama selepas pintu sempadan negara ditutup dalam usaha mengawal penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, pertimbangan itu untuk tempoh bekerja satu atau dua tahun sahaja, katanya ketika Sesi Sembang Santai bersama masyarakat Cina dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pagoh di sini hari ini.

“Beri dia lesen atau permit kerja sementara, macam bagi pengampunan atau kita gunakan istilah pemutihan. Ini sedang kita fikirkan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, demikian semasa menjawab soalan Pengerusi Persatuan Tiong Hua Bukit Pasir Er Yu Peng mengenai usaha kerajaan membantu penduduk yang terlibat dalam sektor sawit di Pagoh yang kini berdepan masalah kekurangan pekerja ekoran pandemik Covid-19.

Katanya, langkah itu akan dijelaskan dengan lebih lanjut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah kelak untuk mengelakkan ia disalah faham.

“Kerana saya takut, kalau saya kata boleh, lain kali sindiket-sindiket haram akan bawa orang (pekerja asing tanpa izin) ini masuk sini kerana dia (sindiket) kata ini tidak apa, orang Malaysia baik, Perdana Menteri dia orang baik.

“You (pekerja asing tanpa izin) duduk satu tahun sudah ada pas (sudah boleh dapat) permit untuk kerja. Itu (tanggapan begini) salah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin berkata, beliau sedar isu ketiadaan pekerja dalam sektor sawit dan getah menjejaskan banyak pihak kerana sering diutarakan dalam pertemuan beliau bersama penduduk setempat termasuk persatuan-persatuan masyarakat.

“Sebab itu, nanti kita tengok macam mana keadaan. Kalau boleh, kita cuba laksanakan,” katanya.

Terdahulu, pada majlis berkenaan, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan bernilai RM5,000 kepada setiap empat NGO kawasan Parlimen Pagoh.

Empat NGO itu ialah Rumah Berhala Poh Hoon Kong Tanjung Selabu, Pertubuhan Penganut Dewa Seong Tay Kong, Persatuan Penganut Dewa Hua Kuang dan Jawatankuasa Pengurusan Perkuburan Kong Hock Tong. - Bernama