Sheng Tai International bantu luaskan perniagaan tempatan

Leong Sir Ley
Leong Sir Ley
A
A
A

PETALING JAYA - Ahli-ahli profesional, usahawan dan peneraju industri di seluruh rantau ini yang sedang mencari destinasi pelaburan yang pesat pertumbuhannya dan ideal untuk didiami, bekerja dan menyeronokkan kini boleh mendapati Malaysia lebih menarik menerusi pelancaran terbaharu Pusat Sehenti Sheng Tai International atau OSC.

OSC diilhamkan oleh pemaju yang memenangi anugerah sebagai perkhidmatan maklumat menyeluruh dan platform jualan bersilang yang membantu pelanggan antarabangsa menyesuaikan diri di Malaysia dan pada masa sama, meningkatkan perniagaan masing-masing di Malaysia.

Menerusi pejabat antarabangsanya di Beijing, Shanghai, Hong Kong dan Jepun, Sheng Tai International merancang untuk mempromosikan Malaysia melalui OSC terutama dari perspektif gaya hidup dan kehidupan, selain perdagangan melangkaui sempadan.

OSC juga memberikan peluang kepada penyedia perkhidmatan dan perniagaan di Malaysia untuk meneroka peluang perniagaan dengan pelanggan asing, mewujudkan eko-sistem perniagaan 'menang-menang' yang boleh menangani kesan negatif ekonomi susulan pandemik koronavirus (Covid-19).

Sheng Tai International yang sebelum ini dikenali sebagai Sheng Tai Realty Sdn Bhd yang beroperasi sejak tahun 2012 juga telah melabur sebanyak RM8 juta bagi menubuhkan OSC di seluruh pejabatnya.

Pengasas dan Pengerusi Sheng Tai International, Datuk Leong Sir Ley berkata, syarikat itu telah menjalankan perniagaan di pasaran-pasaran utama di rantau Asia Pasifik selama lebih 10 tahun dan 95 peratus daripada jumlah keseluruhan perniagaan mereka datangnya dari luar negara.

“Terdapat hanya sedikit pemain hartanah hari ini yang tahu dan memahami pasaran-pasaran ini bersama dengan pasaran Malaysia seperti Sheng Tai International.

“Ia meletakkan kami pada kedudukan unik untuk menarik minat, bukan sahaja pembeli hartanah berkualiti tetapi juga pelabur berpotensi ke Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, OSC akan menyediakan keperluan yang diperlukan kepada mereka yang merancang untuk berpindah ke Malaysia dan pada masa sama menawarkan kolaboratif strategik bersama perniagaan tempatan bagi melancarkan usahasama perniagaan mereka.

"Pelabur berpotensi yang berhasrat untuk melabur di Malaysia tetapi tidak dapat melakukan lawatan secara fizikal disebabkan larangan perjalanan ketika ini boleh berhubung dengan OSC yang terletak di semua pejabat syarikat berkenaan.

“Kami boleh menjadi mata, telinga dan tangan bagi bakal pelabur tersebut, menghubungkan mereka dengan usahawan serta pelabur tempatan. Kami percaya ia akan menjadi perkhidmatan yang berharga apabila menjalankan perniagaan di bawah norma baharu,” katanya.

Sheng Tai International, kata Leong, memiliki rakan kongsi yang luas dalam pelbagai industri yang menyediakan penyelesaian komprehensif dan pengalaman khusus dalam bidang masing-masing.

"Rakan-rakan itu termasuk HELP University, sebuah institusi pendidikan; 28 Days Alliance, pusat penjagaan ibu selepas bersalin; Golden Heritage Living, pusat persaraan; FashionTV, penyiar peneraju fesyen dan gaya hidup; dan juga International Work Space Group, penyedia ruang kerja bersama," katanya.

Menurutnya, Sheng Tai International juga mempunyai ramai rakan kongsi perniagaan, pembekal dan perunding di keseluruhan rantaian nilai yang bakal pelabur boleh juga harapkan.

“Sheng Tai International merupakan sebuah syarikat yang memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang bukan sahaja di dalam hartanah tetapi juga industri hospitaliti dan pengurusan pelaburan. Barisan hadapan OSC kami adalah cukup terlatih dan berpengetahuan mengenai rangkaian dan keupayaan untuk menyediakan penyelesaian lancar bagi segala jenis keperluan,” kata Leong.

Untuk maklumat lanjut mengenai perkara ini dan perkhidmatan lain oleh Sheng Tai International, sila lawat https://shengtaiinternational.com