Individu bekerja sendiri boleh mohon kebenaran rentas daerah, negeri

ISMAIL SABRI
ISMAIL SABRI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Individu yang bekerja sendiri boleh memohon surat kebenaran di balai polis untuk pergerakan keluar daerah atau negeri sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, surat kebenaran itu akan memudahkan pergerakan dan urusan mana-mana individu sewaktu ditahan di sekatan jalan raya (SJR).

“Jadi perlu ke balai polis, dapatkan surat kebenaran pergerakan. Saya faham mereka tidak mempunyai majikan, jadi tiada siapa dapat sahkan mereka bekerja di mana-mana syarikat.

“Nasihat saya, pergilah ke balai polis. Ini cara paling sesuai,” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Ismail Sabri mengulas laporan membabitkan seorang penjaja makanan dikenakan kompaun RM1,000 dalam satu SJR kerana tidak memiliki surat kebenaran bekerja daripada majikan.

Ismail Sabri berkata, sebanyak 293 SJR turut dilaksanakan semalam.

Katanya, seramai 553 individu ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan 532 daripada mereka dikompaun manakala 21 orang ditahan reman.

Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (153), gagal menyediakan peralatan dan merekod butiran pelanggan (165), penjarakan fizikal (87), premis beroperasi lebih masa (37), aktiviti di pusat hiburan (18) dan lain-lain (93).

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, seramai 46 warga asing ditahan dan lima kenderaan dirampas semalam dalam Ops Benteng bagi mengawal sempadan negara daripada dibolosi pendatang tanpa izin selain membendung penularan pandemik Covid-19.

Ismail Sabri juga berkata, sejak 24 Julai hingga semalam, sejumlah 57,396 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

"Daripada jumlah itu, seramai 9,221 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 63 Hotel dan 17 premis lain termasuk Institut Latihan Awam serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan," katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya menghubungi hotline National Task Force di talian 011-6251 1223 untuk membantu menyalurkan maklumat berkaitan pendatang tanpa izin dan jenayah rentas sempadan.

“Orang ramai boleh membantu pihak berkuasa dalam mengurangkan kemasukan pendatang asing secara haram dengan menghubungi pihak berkuasa supaya tindakan boleh diambil,” katanya.

Ismail Sabri juga berkata, PKPB Kampung Padang Che Mas, Baling, Kedah yang bermula pada 18 Oktober lepas akan ditamatkan esok mengikut jadual kerana tiada pertambahan kes Covid-19 seperti dimaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia. - Bernama