Peguam saman kerajaan berhubung darurat

Bangunan Perdana Putra. Gambar hiasan.
Bangunan Perdana Putra. Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang peguam memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini hari ini berhubung keputusan Yang di-Pertuan Agong yang enggan bertindak atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat.

Saman pemula itu difailkan oleh Syed Iskandar Syed Jaafar selaku plaintif menerusi Tetuan R Kengadharan & Co dan menamakan kerajaan Malaysia selaku defendan tunggal.

Menerusi pernyataan tuntutan berkenaan, plaintif yang berusia 53 tahun itu menuntut mahkamah menentukan perkara itu berdasarkan Artikel 40 dan 150 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menuntut sama ada Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara untuk tidak mengisytiharkan darurat walaupun Perdana Menteri atau Kabinet menasihatkan sebaliknya.

Untuk rekod, Artikel 40 menyatakan secara umum membahas tentang perlunya Yang di-Pertuan Agong bertindak sesuai dengan nasihat Kabinet atau menteri yang bertindak di bawah kekuasaan umum Kabinet.

Artikel 150 pula membahas mengenai kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan pengisytiharan darurat di mana terdapat situasi menyentuh keselamatan, ekonomi, atau ketenteraman awam di Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam.

Plaintif juga menuntut untuk menentukan sama ada Akta A514 yang meminda Perkara 150 dengan menambah Fasal-fasal (8) dan (9) adalah melanggar Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu adalah terbatal dan tidak sah.

Beliau turut menyatakan bahawa Parlimen tidak berhak untuk meminda Perkara 150 untuk menyingkirkan bidang kuasa Mahkamah Tinggi untuk memeriksa kesahihan suatu keputusan yang telah dibuat di bawah Perkara 150(1).

Artikel Berkaitan:

Pemindahan tersebut melanggari sepenuhnya (cuts across) kuasa semakan kehakiman yang merupakan sebahagian daripada struktur asas Perlembagaan Persekutuan.

Pada 25 Oktober lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menolak pengisytiharan darurat kerana tiada keperluan untuk melaksanakannya di negara ini atau mana-mana bahagian negara ini ketika ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dicapai selepas Yang di-Pertuan Agong memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-raja Melayu.

Menurut beliau, selepas melihat situasi yang sedang dihadapi negara, Al-Sultan Abdullah merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak Covid-19 dengan baik dan berkesan.