Rusuhan kuil: Polis tahan empat lelaki, rampas parang

Datuk Mazlan Mansor
Datuk Mazlan Mansor
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Polis menahan empat lagi lelaki yang terlibat dalam rusuhan di Kuil Sri Mariamman, di USJ 25, hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, dua lelaki ditahan malam tadi manakala dua lagi ditahan awal pagi.

Beliau berkata, polis turut merampas parang bersama dua suspek awal ditahan.

"Jumlah tangkapan berhubung kes ini adalah seramai 21 orang yang kesemuanya lelaki," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Mazlan berkata, lima buah kenderaan juga dibakar dalam kejadian malam tadi.

"Empat kenderaan dibakar berhampiran kuil manakala sebuah van di bakar di One City Mall. Jumlah keseluruhan kenderaan yang dibakar adalah 23 buah," katanya.

Sementara itu, Mazlan berkata, seorang anggota bomba cedera selepas diserang sekumpulan lelaki ketika cuba memadamkan kenderaan yang dibakar.

"Kenderaan bomba juga dirosakkan dan anggota bomba yang cedera itu kini di rawat di hospital di Subang Jaya," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Keadaan di kuil, kawasan sekitar terkawal]

Artikel Berkaitan:


[ARTIKEL BERKAITAN: Isu pindah kuil: Selisih faham punca gaduh]

[ARTIKEL BERKAITAN: Insiden rusuhan tidak babit unsur perkauman]


Mengulas lanjut, Mazlan berkata, pada jam 2 pagi, One City Mall yang terletak lebih kurang satu kilometer dari kuil berkenaan, turut diserang sekumpulan lelaki.

"Cermin pusat beli belah itu dipecahkan. Beberapa peralatan showroom juga dirosakkan.

"Sebuah bas, sebuah kereta dan sebuah motosikal juga dirosakkan," katanya.

Dalam pada itu, Mazlan menasihati semua pihak agar bertenang dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam.

"Saya sering beri amaran supaya orang ramai tidak mengambil tindakan undang-undang sendiri tetapi masih ada yang berdegil. Ada juga kenyataan-kenyataan yang tidak sewajarnya dikeluarkan tetapi dikeluarkan.

"Ini yang menimbulkan kegusaran. Saya mintak semua pihak hentikan kenyataan yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam," katanya.