RM35 juta Bantuan Prihatin Covid-19 kepada petani, nelayan di Sabah

Jeffrey Kitingan
Jeffrey Kitingan
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak RM35 juta peruntukan akan diberikan kepada pemain industri pertanian di Sabah menerusi Bantuan Prihatin Covid-19 yang diumumkan kerajaan negeri baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, bantuan itu untuk membantu mereka yang terjejas akibat pandemik berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, seramai 116,248 penerima yang berdaftar di bawah kementerian membabitkan pelbagai segmen industri di Sabah akan mendapat manfaat daripada peruntukan tersebut.

"Setiap penerima akan menerima sebanyak RM300 secara 'one off' melalui peruntukan itu.

"Antara yang akan menerima peruntukan itu termasuk petani, nelayan, pekebun kecil, penternak, Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), Koperasi Pembangunan Desa dan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah ( LKTNS)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jeffrey bagaimanapun berkata, senarai itu bukan menyeluruh dan bagi mereka yang tercicir, permohonan bantuan akan tetap dipertimbangkan sekiranya mereka berdaftar dengan jabatan dan yang berkenaan.

"Peruntukan ini adalah sebahagian daripada jumlah bantuan kerajaan untuk membantu kumpulan B40 termasuk sektor lain seperti pemandu teksi, pemandu bas, pemandu lori dan pemain industri pelancongan.

"Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan memproses dokumen membabitkan RM34.87 juta bantuan tunai sebelum dihantar ke Jabatan Perbendaharian Negeri untuk tujuan pembayaran dan akan dikreditkan terus ke dalam akaun penerima," katanya.

Artikel Berkaitan:

Rabu lalu, kerajaan negeri Sabah bersetuju meluluskan sebanyak RM160 juta bantuan Prihatin Covid-19 bagi membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik itu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor dalam satu kenyataan berkata, bantuan berkenaan adalah tambahan kepada peruntukan segera sebanyak RM50 juta yang telah diluluskan kerajaan negeri pada awal bulan ini.