PATI berkurangan, pelaksanaan OCP Daratan berhasil

Antara rondaan OCP Daratan yang dilaksanakan ESSCOM di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).
Antara rondaan OCP Daratan yang dilaksanakan ESSCOM di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).
A
A
A

KALABAKAN - Penjaja haram dan penjualan rokok seludup di kawasan hotspot Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di sini berkurangan hasil pelaksanaan Ops Cegah PATI (OCP) Daratan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di kawasan berkenaan.

Datuk Ahmad Fuad Othman
Datuk Ahmad Fuad Othman

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, operasi OCP Daratan mula menampakkan hasil apabila berjaya mengawal kemasukan PATI dan barang-barang seludup ke kawasan berkenaan.

"Kejayaan OCP Daratan dapat dilihat melalui kurangnya penjaja haram yang terdiri daripada PATI di kawasan hotspot PATI.

"Selain itu, bekalan dan penjualan rokok seludup juga didapati berkurangan yang akhirnya memberi kesan kepada kenaikan harga yang mendadak terhadap barangan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Fuad berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan rondaan OCP Daratan supaya kehadiran PATI dapat dibendung di kawasan terbabit.

"Rondaan OCP Daratan yang diaktifkan di kawasan Kalabakan pada April lalu telah diperluaskan ke kawasan tanggungjawab rondaan sehingga ke kawasan pesisir pantai hotspot Wakuba, Tawau.

"ESSCOM dengan kerjasama semua agensi penguat kuasa dalam OCP Daratan yang terdiri daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus memperketatkan kawalan di sempadan pesisir pantai bagi mengekang kemasukan PATI terutama di kawasan Pulau Sebatik yang jaraknya lebih kurang 10 minit perjalanan untuk masuk ke Tawau," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Fuad berkata, dari segi pengukuhan pasukan rondaan di kawasan Kalabakan, pihaknya mempunyai pos-pos tentera di bawah Ops Gasak dan terdapat enam 'point' ATM yang membantu pasukan ESSCOM mengawal dan memantau lorong tikus sejauh lebih 200 kilometer dari Tawau sehingga ke sempadan Kalabakan.

Antara rondaan OCP Daratan yang dilaksanakan ESSCOM di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).
Antara rondaan OCP Daratan yang dilaksanakan ESSCOM di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Dalam masa sama, Ahmad Fuad berkata, ESSCOM juga akan terus memantau dan mengambil kira ancaman jenayah rentas sempadan yang lain seperti ancaman daripada kumpulan militan yang boleh mengganggu keamanan dan keselamatan perairan pantai timur Sabah.

"Pasukan perisikan ESSCOM akan terus memantau dan meneliti maklumat pergerakan dan aktiviti kumpulan ini. Kita akan sentiasa bekerjasama dengan pasukan keselamatan dari negara jiran untuk bertukar maklumat perisikan dalam usaha untuk mengawal dan mengekang kemasukan kumpulan ini.

"Fokus kita sememangnya mengekang penularan wabak Covid-19, tetapi dalam masa sama mengambil kira ancaman lain," katanya.