Peras ugut polis, bekas pegawai SPRM didenda RM10,000

Rommy yang didapati bersalah memeras ugut seorang pegawai polis tiga tahun lalu, didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret, hari ini. Foto Bernama
Rommy yang didapati bersalah memeras ugut seorang pegawai polis tiga tahun lalu, didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - DIKEMAS KINI] Seorang bekas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didapati bersalah memeras ugut seorang pegawai polis tiga tahun lalu, didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Sri Pracha Nanthini Balabedha menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Rommy Ma'i'aruf, 41, selepas dia gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu yang memakai kemeja berwarna biru dipenjara 24 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Pada 30 November 2017, Rommy didakwa dengan sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada Ahmad Hasbi Mohd Fauzi, 35, iaitu satu bencana risiko ditangkap oleh SPRM, kerana Ahmad Hasbi adalah pegawai yang bertanggungjawab membuat laporan perkembangan aktiviti perjudian haram di daerah Seberang Perai Tengah.

Tertuduh dengan curangnya telah mendorong mangsa yang bertugas sebagai Inspektor di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) menyerahkan wang tunai RM3,000.

Dia yang berdepan hukuman mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di perkarangan stesen minyak Petronas Seberang Jaya pada pukul 9.30 malam, 8 Jun 2017.

Seksyen 384 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Terdahulu peguam Piyara Singh yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya diberikan hukuman ringan atas alasan tertuduh perlu menyara isteri dan tiga anak, manakala Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazri Abdul Rahim memohon hukuman berat dikenakan, berikutan tertuduh adalah seorang penjawat awam yang sepatutnya memberikan perkhidmatan terbaik kerana berkhidmat dalam satu agensi yang disegani. - Bernama

Artikel Berkaitan: