Belanjawan 2021: Guru, ibu bapa harap peruntukan besar

Amiruddin Awang
Amiruddin Awang
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menjelang pembentangan Belanjawan 2021, persatuan guru dan ibu bapa berharap agar peruntukan besar terus diberikan dalam bidang pendidikan, khususnya dalam aspek kemudahan akses internet dan penyediaan peranti elektronik bagi menjayakan konsep ‘pembelajaran di rumah’.

Ia selaras dengan norma baharu ketika ini susulan penularan Covid-19, yang turut membuka mata banyak pihak bahawa Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) secara dalam talian masih belum mencapai tahap memuaskan lebih-lebih lagi dalam aspek kemudahan internet dan peranti telekomunikasi dan gajet elektronik.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Amiruddin Awang berkata, ini memandangkan kebanyakan masalah utama ketika menjalankan PnP secara maya ketika ini ialah dari aspek internet dan peranti elektronik, terutamanya dalam kalangan guru dan pelajar luar bandar dan pedalaman.

“Negara-negara maju kurang masalah jalankan PnP secara dalam talian, kerana murid ada kemudahan yang disediakan, talian internet mereka laju, ada gajet. Walaupun sekolah ditutup mereka tidak ada masalah jalankan PnP secara maya,” katanya ketika dihubungi.

Amiruddin berkata, kerajaan mungkin boleh memberikan rebat bagi membolehkan guru-guru dan pelajar membeli peralatan elektronik seperti komputer peribadi dan telefon bimbit, memandangkan masih ramai daripada mereka yang tidak mempunyai kemudahan tersebut.

Selain penyediaan kemudahan telekomunikasi dan internet secara menyeluruh, Amiruddin berkata, guru dan pelajar juga mungkin boleh diberikan harga istimewa bagi langganan internet, sama ada untuk kegunaan di rumah dan menerusi telefon bimbit.

“Kita perlu menerima hakikat bahawa Covid-19 'hidup' bersama kita, maka mod PnP juga perlu berubah dan ini sudah tentu memerlukan perubahan norma PnP secara beransur-ansur,” katanya.

Senada dengan beliau ialah Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Profesor Madya Datuk Dr Mohd Ali Hassan, yang meminta kerajaan agar memberikan tumpuan kepada penaiktarafan infrastrukur pendidikan bagi membantu melancarkan proses PnP secara dalam talian.

Artikel Berkaitan:

“Skim bantuan bagi membeli peralatan dan aksesori PnP secara dalam talian perlu diwujudkan, bagi terutamanya bagi membantu ibu bapa yang kurang berkemampuan untuk membeli gajet elektronik,” katanya.

Bukan itu sahaja, Mohd Ali berkata, para guru juga perlu diberikan latihan dan kursus bagi mengendalikan PnP secara dalam talian, memandangkan konteks pendidikan masa kini memerlukan guru menguasai dan mempunyai literasi teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Dalam mendepani wabak Covid-19, Mohd Ali turut mencadangkan agar kerajaan memberikan peruntukan khas untuk pemeriksaan kesihatan pada guru dan murid, selain peruntukan bagi peralatan pakej asas kepada pematuhan prosedur operasi standard di setiap sekolah.

Ia termasuklah pembelian cecair pembasmi kuman, pelitup muka dan sanitasi berkala. - Bernama