Rugi RM45,000 gara-gara percaya makhluk halus atas bumbung

Seorang kerani sebuah syarikat swasta dari Padang Sanai, Kuala Nerang, dekat sini mengalami kerugian RM45,000 selepas terpedaya dengan seorang bomoh. Gambar hiasan.
Seorang kerani sebuah syarikat swasta dari Padang Sanai, Kuala Nerang, dekat sini mengalami kerugian RM45,000 selepas terpedaya dengan seorang bomoh. Gambar hiasan.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang kerani sebuah syarikat swasta dari Padang Sanai, Kuala Nerang, dekat sini mengalami kerugian RM45,000 selepas terpedaya dengan seorang bomoh pada September lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa berusia 44 tahun itu didatangi bomoh itu yang juga saudara rapatnya dan memberitahu ada makhluk halus jatuh atas bumbung rumah wanita tersebut pada hujung bulan Januari lalu.

Menurutnya, suspek memberitahu bahawa barang perhiasan emas yang ada di dalam rumah mangsa akan mendatangkan mudarat dan memintanya untuk mengeluarkan kesemua miliknya.

"Atas dasar percaya, mangsa yang sudah berkahwin itu mengeluarkan kesemua barangan perhiasan emas miliknya dan menyerahkan kepada suspek.

"Barangan kemas berkenaan kemudiannya dibalut dengan kain putih dan disimpan di dalam almari baju di dalam bilik mangsa dan tiada sesiapapun dibenarkan untuk menyentuh kain itu kecuali suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, suspek datang semula ke rumah mangsa kira-kira seminggu selepas itu dan meluru masuk ke dalam bilik mangsa untuk memeriksa balutan kain putih disimpan di dalam almari tanpa ditemani sesiapa.

"Suspek menyerahkan tiga cincin kepada mangsa dan memberitahu wanita itu bahawa barangan kemas tersebut boleh dipakai semula.

"Pada 8 September lalu, wanita itu menyedari dirinya ditipu apabila orang kampung yang menggunakan khidmat bomoh sama memberitahu bahawa suspek ialah bomoh penipu dan mengambil barangan perhiasan emas.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa kemudian membuka balutan kain putih disimpan di dalam almari rumahnya dan mendapati barangan kemasnya sudah digantikan dengan rantai emas yang disyaki palsu," katanya.

Elias berkata, mangsa membuat laporan di balai polis di Padang Sanai dalam daerah Padang Terap pada 25 Oktober dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Setakat ini, kita menerima empat laporan polis pada tarikh dan lokasi sama melibatkan modus operandi dan suspek sama.

"Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan penipuan bomoh dan semudahnya menyerahkan apa-apa harta berharga kepada orang lain," katanya.