Suri rumah didakwa sekali lagi

Intan Nurulhaleda dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas pertuduhan menawarkan pakej pelancongan tidak wujud dan tanpa lesen.
Intan Nurulhaleda dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas pertuduhan menawarkan pakej pelancongan tidak wujud dan tanpa lesen.
A
A
A

AMPANG - Seorang suri rumah yang sebelum ini didakwa bersama suaminya atas pertuduhan menawarkan pakej pelancongan tidak wujud dan tanpa lesen, sekali lagi didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas lapan pertuduhan.

Intan Nurulhaleda Mohd Yunus, 26, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan, selepas ia dibacakan di hadapan Majistret Farah Nasihah Annuar.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa atas empat pertuduhan menawarkan pakej pelancongan tidak wujud, bersama-sama seorang lagi yang belum dituduh iaitu suaminya, dengan menipu mangsa dengan memperdayakan mereka untuk memasukkan wang keseluruhan sebanyak RM2,676 ke akaun I&I Paradise Venture.

Difahamkan suaminya tidak didakwa di mahkamah hari ini kerana masih berada di penjara Sungai Buloh ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di medan selera Taman Bukit Indah; Jalan Melawati 1 di Taman Melawati; Kondominium Bella Vista di Jalan Cahaya dan sebuah premis di Taman Sri Keramat, di sini antara 20 Mei hingga 15 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi empat lagi pertuduhan iaitu menawarkan pakej pelancongan tanpa lesen, tertuduh didakwa menawarkan pakej pelancongan kepada mangsa yang sama, pada tarikh dan lokasi yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Industri Pelancongan 1992 terhadap empat mangsa sama, pada tarikh dan lokasi yang sama.

Artikel Berkaitan:

Jika sabit kesalahan, mereka didakwa mengikut Seksyen 5(2) Akta Industri Pelancongan 1992 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 5(3) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, dan sebagai tambahan, boleh didenda tidak lebih RM5,000 bagi setiap kesalahan itu diteruskan.

Kesemua mangsa antaranya bekerja sebagai pegawai akaun, jurutera, kakitangan perhubungan awam dan pekerja insurans.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi kesemua pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam Mohd Fikah Sanusi yang mewakili tertuduh merayu agar kadar itu dikurangkan atas alasan anak guamnya tidak lagi bekerja.

“Anak guam saya mengandung empat bulan, kini tinggal bersama ibu bapa selepas suaminya ditahan di penjara Sungai Buloh atas pertuduhan yang sama,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, bagi kesemua pertuduhan, Farah Nasihah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM16,400.

Mahkamah menetapkan 4 Disember depan sebagai sebutan semula kes.

Pada 9 Oktober lalu, Intan Nurulhaleda dan suaminya, Muhammad Iqbal Mohd Sani, 27, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam atas 39 pertuduhan yang sama dengan kerugian RM10,454 tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami isteri mengaku tidak bersalah tipu pakej pelancongan