Belanjawan 2021: Ahli akademik saran PSC diberi subsidi

Ketika ini, PSC yang diwartakan kepada penumpang penerbangan domestik dan ASEAN di semua lapangan terbang tempatan, masing-masing sebanyak RM11 dan RM35, manakala RM73 dikenakan kepada penumpang antarabangsa bukan ASEAN. Foto 123Rf
Ketika ini, PSC yang diwartakan kepada penumpang penerbangan domestik dan ASEAN di semua lapangan terbang tempatan, masing-masing sebanyak RM11 dan RM35, manakala RM73 dikenakan kepada penumpang antarabangsa bukan ASEAN. Foto 123Rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli akademik menyarankan kerajaan mempertimbangkan pengurangan caj perkhidmatan penumpang (PSC) bagi penerbangan antarabangsa di semua lapangan terbang di negara ini untuk menarik pelancong asing apabila sempadan dibuka semula.

Ketika ini, PSC yang diwartakan kepada penumpang penerbangan domestik dan ASEAN di semua lapangan terbang tempatan, masing-masing sebanyak RM11 dan RM35, manakala RM73 dikenakan kepada penumpang antarabangsa bukan ASEAN.

Profesor Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak Datuk Shazali Abu Mansor berkata, cukai lapangan terbang yang lebih murah akan menarik pelancong asing ke negara ini.

Katanya, langkah itu juga akan mewujudkan limpahan positif yang lebih besar kepada ekonomi dan membantu merangsang pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Kita bergantung kepada pelancongan, maka kita perlu menjadi lebih berdaya saing berbanding negara-negara jiran.

“Ia merupakan langkah strategik dan perkara yang perlu dipertimbangkan kerajaan untuk diberikan subsidi pada Belanjawan 2021 untuk menarik lebih ramai pelancong dan menjana lebih banyak wang kepada negara,” katanya kepada Bernama.

PSC ditentukan dan dikawalselia oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia, entiti yang ditubuhkan kerajaan sebagai badan bebas untuk mengawal selia hal-hal ekonomi dan komersial dalam industri penerbangan.

Cukai itu dikenakan kepada semua penumpang yang meninggalkan negara ini untuk penggunaan kemudahan lapangan terbang dan dikutip oleh syarikat penerbangan bagi pihak operator lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd.

Artikel Berkaitan:

Shazali berkata, lapangan terbang tidak sepatutnya digunakan sebagai platform menjana keuntungan dan kutipan PSC itu sewajarnya hanya mencukupi untuk menampung kos yang diperlukan.

“Kadangkala kita dapat melihat tambang penerbangan yang agak rendah, namun cukai lapangan terbang yang tinggi telah menambahkan kos perjalanan, menyebabkannya menjadi lebih mahal,” katanya.

Sempadan antarabangsa Malaysia masih ditutup untuk pelancongan umum, namun kerajaan Persekutuan telah membenarkan mereka yang berhasrat mendapatkan penjagaan perubatan untuk memasuki negara ini mulai 1 Julai.

Pada 15 Julai, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri pada persidangan Dewan Rakyat berkata, sektor pelancongan negara dijangka mengalami kerugian sekitar RM45 bilion tahun ini susulan penularan pandemik Covid-19 yang menyaksikan penutupan sempadan negara dan negeri.

Katanya daripada jumlah itu, segmen pelancongan antarabangsa diunjur mengalami kerugian melebihi RM31 bilion, manakala selebihnya segmen domestik.

Sektor pelancongan adalah penyumbang ketiga terbesar kepada pertumbuhan KDNK Malaysia iaitu RM86.14 bilion selepas sektor pembuatan dan komoditi. - Bernama