Covid-19: Tiga kluster masih aktif di Johor

Sehingga semalam Johor melaporkan sebanyak 10 kes baharu dengan sembilan kes daripada kluster sedia ada dan satu kes hasil daripada saringan Covid-19. - Foto 123RF
Sehingga semalam Johor melaporkan sebanyak 10 kes baharu dengan sembilan kes daripada kluster sedia ada dan satu kes hasil daripada saringan Covid-19. - Foto 123RF
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kluster Bayu, Kluster Kempas dan Kluster Rinting merupakan tiga kluster yang masih aktif sekali gus menyumbang 60 kes koronavirus (Covid-19) di negeri ini sehingga semalam.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, bagi Kluster Bayu yang merupakan kluster paling baharu, kumulatif kes melibatkan lapan kes iaitu tiga rakan sekerja dan lima ahli keluarga mereka.

"Susulan pengesanan kontak yang dijalankan telah mengenal pasti seramai 104 kontak di Johor. Daripada jumlah ini, 60 didapati negatif manakala 44 lagi menunggu keputusan.

"Punca jangkitan masih dalam siasatan. Sehingga kini penularan masih lagi terkawal dan tertumpu kepada penularan dalam keluarga dan tempat kerja. Kluster ini dijangka tamat pada 23 November 2020," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ni.

Katanya, kumulatif kes Kluster Kempas sehingga semalam mencatatkan 42 kes iaitu lapan rakan sekerja, 17 ahli keluarga mereka, 11 rakan sekerja ahli keluarga mereka dan lima pelajar serta seorang ahli keluarganya.

Susulan pengesanan kontak yang dijalankan katanya, mengenal pasti seramai 477 kontak di Johor melibatkan Johor Bahru, Kulai dan Pontian manakala selebihnya di Selangor dan Melaka.

Tambahnya, daripada jumlah itu, 400 dikesan negatif manakala 35 masih lagi menunggu keputusan.

"Punca jangkitan dikaitkan dengan kes pertama yang mempunyai sejarah perjalanan ke Mukim Hulu Langat, Selangor (zon merah) bagi menghadiri satu upacara perkahwinan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sehingga kini penularan masih lagi terkawal dan tertumpu kepada penularan dalam keluarga dan tempat kerja, kluster itu dijangka tamat pada 24 November ini.

Kluster Rinting pula katanya, 10 kumulatif kes dikesan yang melibatkan dua pekerja, enam ahli keluarga dan dua kawan kepada anak mereka.

"Susulan pengesanan kontak yang dijalankan telah mengenal pasti 263 kontak di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Terengganu dan Pahang. Kesemuanya negatif. Punca jangkitan dikaitkan degan kes indeks menghadiri kursus di Lukut," ujarnya.

Menurutnya, sehingga kini penularan kluster tersebut masih lagi terkawal dan tertumpu kepada penyebaran dalam keluarga dan dijangka tamat pada 8 November ini.

Beliau memberitahu, sehingga semalam Johor melaporkan sebanyak 10 kes baharu dengan sembilan kes daripada kluster sedia ada dan satu kes hasil daripada saringan Covid-19 yang dilakukan.

"Ini menjadikan kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan sebanyak 897 kes dengan 21 kematian. Sebanyak 811 kes telah pulih iaitu 90.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, 65 kes aktif diasingkan dan diberi rawatan di hospital," katanya.