Kilang makanan punca pencemaran Sungai Balak

Pegawai JAS mengambil sampel efluen mentah yang mengalir di Sungai Balak. Gambar kanan: Pencemaran air yang berlaku disebabkan oleh tindakan pengusaha kilang yang beroperasi berhampiran kawasan itu.
Pegawai JAS mengambil sampel efluen mentah yang mengalir di Sungai Balak. Gambar kanan: Pencemaran air yang berlaku disebabkan oleh tindakan pengusaha kilang yang beroperasi berhampiran kawasan itu.
A
A
A

BALAKONG - Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil tindakan tegas dengan menghentikan operasi sebuah kilang berasaskan makanan yang didapati menjadi punca kepada pencemaran di Sungai Balak berhampiran Kampung Baru Balakong sebelum ini.

Ketua Pengarah JAS Malaysia, Norlin Jaafar berkata, menerusi laporan yang diterima, pihaknya telah menjalankan operasi dan berjaya menemui punca luahan air berwarna putih digenangi cecair hitam berminyak yang mengalir secara berterusan di sungai berkenaan.

Norlin berkata, siasatan juga mendapati efluen mentah dan lelehan minyak hitam turut mengalir ke longkang kilang seterusnya memasuki satu saluran paip bawah tanah dan disalirkan ke Sungai Balak.

"JAS Selangor telah menjalankan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) yang mana operasi pengeluaran kilang diberhentikan serta merta sehingga tindakan pembaikan diambil oleh pihak kilang.

"Pihak kilang juga diarahkan untuk melakukan kerja-kerja penutupan (plug) saluran haram ke Sungai Balak dan menjalankan pembersihan sungai yang telah tercemar," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat pencemaran air Kampung Baru Balakong

Sebelum ini, difahamkan, polis membuka satu kertas siasatan berhubung insiden pencemaran air yang berlaku di alur sungai di Jalan KB1/10 Kampung Baru Balakong.

Mengulas lanjut, Norlin berkata, pihaknya turut mengeluarkan Perintah Larangan (PL) di bawah Peraturan 30, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 bagi melarang pengendalian proses perindustrian untuk satu tempoh sehingga langkah-langkah pemulihan dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

Cecair putih yang ditemui di longkang premis berkenaan yang menyebabkan pencemaran di Sungai Balak.
Cecair putih yang ditemui di longkang premis berkenaan yang menyebabkan pencemaran di Sungai Balak.

"Kertas siasatan telah dibuka untuk pendakwaan di mahkamah bagi kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen 25 (1) dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

"Malah, sebanyak tiga sampel diambil dan telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk dianalisa," katanya.

Tambah Norlin, JAS turut memberi amaran keras kepada pihak industri supaya bertanggungjawab menguruskan sisa efluen mengikut undang-undang yang ditetapkan demi menjamin kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan rakyat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pencemaran sungai dibimbangi angkara sabotaj: Amirudin