Jururawat ditugaskan di Sabah tidak perlu jalani kuarantin

Christina Rundi
Christina Rundi
A
A
A

KOTA KINABALU - Jururawat yang ditugaskan di Sabah tidak perlu menjalani tempoh kuarantin selama dua minggu selepas tiba di negeri itu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Christina Rundi berkata, semua petugas kesihatan hanya perlu menjalani ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) sebelum bertolak ke tempat bertugas.

Katanya, JKNS telah menyiasat beberapa isu yang dinyatakan dalam artikel menerusi laporan media tempatan baru-baru ini.

"Adalah tidak benar bahawa jururawat perlu menjalani tempoh kuarantin selama satu hingga dua minggu selepas tiba di Sabah.

"Semua petugas perlu menjalani ujian RT-PCR dan mereka yang mempunyai keputusan negatif dibenarkan melaporkan diri di tempat bertugas sementara sebagai pasukan bantuan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun katanya, petugas terbabit perlu menjalani kuarantin dan ujian RT-PCR sekembalinya daripada bertugas di luar daerah.

Tambah beliau lagi, bagi pasukan yang ditugaskan di Hospital Queen Elizabeth (HQE), mereka akan diberi orientasi selama satu hari berkaitan struktur dan organisasi tempat kerja serta kawalan infeksi.

Christina berkata lagi, semua pegawai perubatan dan pakar di Unit Anaesthesia HQE bekerja dalam suasana kerja yang kondusif dan masih berupaya memikul beban kerja.

Artikel Berkaitan:

"Untuk makluman juga, sejak peringkat awal pandemik koronavirus (Covid-19) lagi, setiap daerah di Sabah telah menubuhkan pasukan Pihak Sokongan Psikososial Kesihatan Mental (MPHSS) untuk memberi sokongan mental dan emosi kepada mereka yang terkesan oleh Covid-19 termasuklah petugas kesihatan di lapangan dan hosputal," katanya.

Christina dalam pada itu turut menafikan kandungan artikel yang menyatakan pesakit dihantar pulang oleh HQE kerana ketiadaan katil di hospital itu.

"Siasatan terhadap kejadian ini dan punca kematian masih dijalankan oleh pihak hospital dan Pejabat Kesihatan Daerah Putatan.

"Terdapat dua hospital yang merawat Covid-19 di Kota Kinabalu iaitu HQE dengan 456 katil dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) dengan 117 katil," katanya.

Sehubungan itu, Christina berkata, HQE telah berusaha menangani keperluan mendesak akibat peningkatan kes Covid-19 setiap hari.

"Secara spesifiknya, HQE telah menambah bilangan katil untuk penjagaan rawatan rapi daripada 16 kepada 40 katil.

"Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menggerakkan sejumlah 288 jururawat terlatih untuk bertugas di HQE dan daripada jumlah ini, seramai 88 orang mempunyai 'post basic' rawatan rapi dan HQE juga telah menyusun semula fungsi wad di hospital itu untuk menambah bilangan katil bagi merawat pesakit Covid-19," katanya.