[VIDEO] Memburu ketam nipah di muara Sungai Merchang

Menangkap ketam nipah menggunakan ‘bito’ yang diletakkan umpan ikan antara aktiviti menarik yang ditawarkan menerusi pakej pelancongan Merchang Lestari yang akan diperkenalkan bermula Mac 2021.
Menangkap ketam nipah menggunakan ‘bito’ yang diletakkan umpan ikan antara aktiviti menarik yang ditawarkan menerusi pakej pelancongan Merchang Lestari yang akan diperkenalkan bermula Mac 2021.
A
A
A

MARANG – [DIKEMAS KINI] Merasai sendiri pengalaman menangkap ketam nipah menggunakan ‘bito’ antara aktiviti menarik ditawarkan menerusi pakej pelancongan Merchang Lestari yang akan diperkenalkan bermula Mac 2021.

Selain ketam nipah, terdapat beberapa lagi aktiviti lain yang akan diperkenalkan kepada pengunjung seperti demonstrasi mengambil air nira atau dikenali sebagai air tuak, mengail ikan serta mencari lokan di kawasan paya bakau berhampiran muara Sungai Merchang.

Timbalan Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Sulaiman Sulong berkata, pembukaan lokasi istimewa di kawasan itu akan menjadi salah satu tarikan kepada pelancong untuk terus meneroka lokasi menarik dalam negara.

“Air tuak, ketam nipah, lokan, ikan sungai dan pembuatan makanan tradisional Terengganu menjadi antara sumber pendapatan utama sebahagian penduduk di Merchang.

“Aktiviti ini akan kita kongsi kepada pelancong luar supaya mereka dapat merasai pengalaman sama serta lebih dekat dengan alam semulajadi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau lokasi itu kelmarin.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah (Pengurusan Acara dan Promosi), Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Fathil Abd Ghani dan Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Razak.

Keunikan alam semulajadi di kawasan sekitar muara Sungai Merchang sesuai dijadikan lokasi pelancongan baharu di daerah Marang.
Keunikan alam semulajadi di kawasan sekitar muara Sungai Merchang sesuai dijadikan lokasi pelancongan baharu di daerah Marang.

Sulaiman berkata, produk pelancongan baharu itu lebih sinonim dengan Tanah Bencah Setiu (Setiu Wetland) namun kawasannya lebih kecil dan uniknya, pengunjung boleh mengenali secara lebih dekat persekitaran dan rutin penduduk setempat.

Artikel Berkaitan:

“Kawasan ini boleh dikembangkan lagi supaya ia mampu menjadi destinasi pilihan baharu kepada komuniti setempat atau pengunjung dari luar. Tambahan pula kita masih lagi dilanda pandemik koronavirus (Covid-19) yang mengehadkan aktiviti pelancongan ke luar negara.

“Ketika ini, pengunjung di Marang lebih banyak tertumpu ke Pulau Kapas, Dataran Batu Putih serta bekas lombong emas Lubuk Mandi yang dikenali sebagai Tasik Pepsi Blue. Jadi, lokasi ini boleh dibangunkan sebagai salah satu lokasi tumpuan pelancongan baharu,” katanya.

Sementara itu, Tun Ahmad Faisal berkata, penjenamaan Merchang Lestari diperkenalkan bagi merealisasikan hasrat menjadikan kawasan ini di bawah pengawasan Majlis Daerah Marang itu sebagai lokasi baharu pelancongan.

“Sebelum ini lokasi di sini agak tersorok namun mempunyai keunikan yang boleh dikomersialkan sebagaimana produk pelancongan yang akan memberi manfaat kepada penduduk tempatan.

“Buat masa ini kita masih dalam proses membangunkan kawasan ini dengan kerjasama penduduk setempat.

“Kita juga sedang mengenal pasti kemudahan infrastruktur yang perlu ditambah baik untuk keselesaan pelancong,” katanya.