MARDI bangunkan teknologi tanam kubis bunga di tanah rendah

Ronald (kanan) dan Mohamad Roff (dua dari kiri) memetik kubis bunga selepas pelancaran Teknologi Pengeluaran Kubis Bunga Tanah Rendah di Ibu Pejabat MARDI di Serdang pada Selasa lalu.
Ronald (kanan) dan Mohamad Roff (dua dari kiri) memetik kubis bunga selepas pelancaran Teknologi Pengeluaran Kubis Bunga Tanah Rendah di Ibu Pejabat MARDI di Serdang pada Selasa lalu.
A
A
A

SERDANG - Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melakar satu lagi kejayaan apabila berjaya membangunkan teknologi tanaman kubis bunga di tanah rendah.

Kubis bunga atau nama saintifiknya, Brassica oleracea var botrytis sebelum ini sinonim sebagai sayuran yang ditanam di kawasan tanah tinggi.

Secara amnya, varieti tanaman temperat seperti kubis bunga memerlukan suhu waktu malam yang dingin iaitu antara 18 hingga 22 darjah Celsius untuk menghasilkan curd atau meristem bunga.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, teknologi tersebut dijangka dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap kubis bunga import kerana pengeluaran dalam negara ketika ini hanya melibatkan kawasan seluas 535 hektar di Cameron Highlands, Pahang dan Kundasang, Sabah.

Menurutnya, kubis bunga berupaya menjana hasil lumayan kerana permintaan yang tinggi dalam negara sejak sekian lama.

“Oleh itu, penanaman kubis bunga yang berkualiti harus dipertingkatkan. Alternatif terbaik adalah dengan menanam kubis bunga di kawasan tanah rendah.

“Kami akan promosikan penemuan ini kepada petani. Mereka yang mempunyai kapasiti untuk menceburi (bidang ini) boleh mendapatkan maklumat teknikal daripada MARDI,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Teknologi Pengeluaran Kubis Bunga Tanah Rendah di Ibu Pejabat MARDI di sini pada Selasa lalu.

Artikel Berkaitan:

Hasil kajian MARDI mendapati kubis bunga yang ditanam di kawasan tanah rendah mempunyai vitamin C yang lebih tinggi berbanding kubis bunga import dan yang ditanam di tanah tinggi.
Hasil kajian MARDI mendapati kubis bunga yang ditanam di kawasan tanah rendah mempunyai vitamin C yang lebih tinggi berbanding kubis bunga import dan yang ditanam di tanah tinggi.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, kejayaan yang dibuktikan MARDI itu juga memperlihatkan bahawa sektor pertanian dan industri makanan negara boleh berkembang maju.

“Menyedari kepentingan sekuriti makanan yang merupakan keperluan kepada negara, MARDI berjaya membangunkan teknologi yang merangkumi satu pakej lengkap kubis bunga tanah rendah.

“Ia bermula daripada penentuan varieti untuk benih, amalan agronomi bagi pengeluaran hasil yang tinggi, pengurusan perosak dan penyakit serta pengawalan kualiti hasil tanaman selepas dituai,” kata beliau.

Sementara itu, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor berkata, tempoh kajian bagi tanaman kubis bunga itu mengambil masa selama empat tahun.

Menurutnya, kubis bunga hasil teknologi pihaknya itu juga mempunyai kandungan vitamin yang lebih tinggi berbanding produk import atau tanaman di tanah tinggi.

“Hasil kajian MARDI mendapati kubis bunga di kawasan tanah rendah mempunyai vitamin C yang lebih tinggi berbanding kubis bunga import dan yang ditanam di tanah tinggi.

“Selain itu, teknologi pengeluaran kubis bunga tanah rendah juga dapat memendekkan tempoh ia boleh dituai iaitu dalam satu hingga dua minggu, selain mengurangkan penyakit terhadap tanaman tersebut,” katanya.

Pihak media turut diberi peluang merasai sendiri pengalaman menuai kubis bunga yang ditanam di kawasan tanah rendah.
Pihak media turut diberi peluang merasai sendiri pengalaman menuai kubis bunga yang ditanam di kawasan tanah rendah.

Beliau berkata, secara umumnya tempoh matang atau boleh dituai bagi kubis bunga adalah antara 80 hingga 85 hari selepas ditanam.

Selain itu, katanya, antara kelebihan menanam kubis bunga di tanah rendah adalah dapat memperluas kawasan penanaman, cakupan kawasan dan lebih ramai lagi petani boleh terlibat.

“Kos pengeluaran juga lebih rendah termasuk kos pemasaran dan pasaran menjadi lebih baik. Pengurusan serangga perosak dan penyakit juga adalah minimum.

“Pada masa yang sama, teknologi yang dijana adalah ke arah sisa sifar dengan pembangunan produk hiliran berpotensi iaitu produk makanan seperti kimchi, sayuran goreng dan tepung mi serta makanan ternakan,” kata beliau.