Cadang perkhidmatan internet disenarai sebagai utiliti awam

Saifuddin (lima dari kiri) bersama tetamu jemputan yang hadir pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul dan Pelancaran Pusat e-Dakwah Parlimen Indera Mahkota di Masjid Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad, malam tadi.
Saifuddin (lima dari kiri) bersama tetamu jemputan yang hadir pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul dan Pelancaran Pusat e-Dakwah Parlimen Indera Mahkota di Masjid Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad, malam tadi.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mencadangkan perkhidmatan internet disenaraikan sebagai utiliti awam dalam Bajet 2021 yang akan dibentangkan 6 November ini.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, cadangan itu antara usaha untuk memperluas dan mempertingkatkan akses ke seluruh negara selain bertujuan memastikan infrastruktur untuk capaian internet dapat dibangunkan dengan lebih cepat.

Katanya, jika cadangan diterima, perkhidmatan internet akan disenaraikan sebagai utiliti awam ketiga selepas air dan elektrik.

"Ia penting kerana kemudahan internet juga sepatutnya dimasukkan oleh pihak pemaju dalam permohonan kebenaran merancang bagi pembangunan sesuatu kawasan seperti bekalan air dan elektrik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul dan Pelancaran Pusat e-Dakwah Parlimen Indera Mahkota di Masjid Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad, Kampung Sungai Karang Pantai di sini, malam tadi.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu dan Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Datuk Badlishah Alauddin.

Saifuddin berkata, pembangunan kemudahan internet termasuk pembinaan menara komunikasi juga memerlukan perancangan awal.

"Ketika ini, infrastruktur kemudahan internet biasanya akan dipasang selepas projek pembangunan lain selesai menyebabkan berlaku masalah lokasi terutama untuk mendirikan menara komunikasi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Saifuddin turut mencadangkan industri kreatif negara diperkasakan sebagai satu ekonomi yang perlu dilihat dalam skop lebih luas.

Justeru katanya, untuk Bajet 2021, Dana Kandungan Digital dapat dikekalkan seperti bajet tahun ini iaitu sebanyak RM500 juta.

"Kita akui, dana ini masih berbaki RM200 juta kerana masalah tiada perancangan besar untuk tahun ini.

"Bagaimanapun kita sedang mengatur beberapa perancangan untuk memperkasakan industri filem dan muzik negara termasuk industri nasyid," katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin menggesa semua ahli Parlimen mengetepikan perbezaan politik dalam meluluskan Bajet 2021 yang dijadualkan dibentang di Dewan Rakyat pada 6 November ini.

"Semua pihak perlu berlapang dada dan saling bekerjasama mengutamakan kepentingan rakyat.

"Ia bukan untuk mempertahankan Perdana Menteri atau kerajaan Perikatan Naaional (PN) tetapi meningkatkan usaha membantu rakyat khususnya dalam mendepani penularan pandemik koronavirus (Covid-19) di negara ini," katanya.