UMNO putuskan PRU perlu diadakan lepas Covid-19 dapat dikawal

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan agar mandat rakyat dikembalikan bagi mewujudkan kerajaan yang stabil dengan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) setelah pandemik koronavirus (Covid-19) dapat dikawal dan berada di peringkat minimum.

Keputusan itu dicapai pada mesyuarat selama empat jam di Menara Dato' Onn di sini yang berakhir jam 12.30 tengah malam, sebentar tadi.

Ia sekali gus menafikan spekulasi bahawa mesyuarat itu diadakan untuk membincangkan tentang calon Timbalan Perdana Menteri (TPM) seperti dilaporkan media sebelum ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO terus kekal fokus dan konsisten dengan kenyataan yang sudah berkali-kali dikeluarkan tentang kepentingan gencatan politik dan rekonsiliasi nasional.

Menurutnya, ia demi mendepani wabak Covid-19, menjaga kebajikan rakyat, keamanan negara dan kestabilan politik.

"UMNO memperhalusi pelbagai pandangan dan harapan rakyat mengenai Belanjawan 2021 untuk diangkat kepada kerajaan termasuklah isu perlanjutan tempoh moratorium, bantuan sara hidup kepada rakyat yang hilang punca pendapatan akibat Covid-19, bantuan kepada belia yang menganggur, bayaran khas kepada barisan hadapan dan beberapa inisiatif untuk meningkatkan pengembangan ekonomi negara.

"Lantaran itu, UMNO akan memastikan Belanjawan 2021 yang bermanfaat untuk rakyat dapat diluluskan," katanya dalam satu kenyataan selepas berakhirnya mesyuarat khas berkenaan.

Sinar Harian difahamkan mesyuarat yang bermula jam 8.30 malam itu tidak dihadiri Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid berkata, UMNO juga mengulangi pendirian menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu untuk terus memastikan pentadbiran negara diurus dengan baik.

Beliau menjelaskan, ia berpandukan keluhuran undang-undang dan menghormati semangat yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara dan tidak membawa negara ke dalam darurat sebagaimana yang telah dicadangkan oleh pihak kerajaan.

Berikutan itu, tegasnya, UMNO tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya pendirian parti itu dalam perkara berkenaan masih dipersoalkan demi menjaga kedaulatan Raja-raja dan kepentingan rakyat.

"Sebarang tindakan mana-mana pihak yang mempersoalkan keputusan UMNO dalam mendokong titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu adalah tidak bertanggungjawab dan amat dikesali.

"UMNO adalah sebuah parti yang dasar-dasarnya sentiasa memberikan keutamaan kepada agenda rakyat. Maka, semua anggota Kabinet yang mewakili UMNO terus kekal dalam Kerajaan dan beriltizam untuk terus menjaga kebajikan rakyat dan mempertahankan maruah parti," katanya.