Kes culik budak di Pasir Gudang, ini penjelasan polis...

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis hari ini menafikan berlakunya kes culik seorang kanak-kanak lelaki di Taman Nusa Damai, Pasir Gudang di sini pada Selasa sebagaimana yang tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Norazam Shaari berkata penculikan dikatakan berlaku kerana ibu kanak-kanak itu panik selepas mendapati anaknya tidak pulang ke rumah pengasuh seperti kebiasaan sebaik turun dari bas sekolah, selain melihat beg dan buku-buku sekolah anaknya bertaburan di sekitar tempat turun bas.

“Kira-kira pukul 6.00 petang, kanak-kanak itu bagaimanapun pulang ke rumah di Taman Bukit Dahlia dengan menumpang sebuah kenderaan. Difahamkan anaknya turut panik apabila turun dari bas dan ternampak sebuah van putih yang dinaiki oleh orang yang tidak dikenali.

“Namun selepas disiasat, penculikan oleh van putih itu tidak pernah berlaku dan pengadu (ibu mangsa) telah pun menarik semula laporannya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dua hari lepas, seorang wanita memuat naik satu kenyataan bersama sekeping gambar anaknya berusia 9 tahun dalam akaun laman rasmi Facebooknya, meminta orang ramai menularkannya selepas anaknya tidak pulang ke rumah pengasuh.

Turut tular, satu rakaman suara yang mengesahkan kejadian culik itu berlaku.

Sementara itu, Norazam memberitahu siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti individu yang bertanggungjawab membuat beberapa rakaman suara mengenai kejadian yang tidak benar di laman sosial sehingga menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.

Katanya siasatan akan membolehkan pihaknya mengambil tindakan undang-undang terhadap individu itu.

Artikel Berkaitan: