Cara hidup, amalan pemakanan punca pandemik Covid-19 menular

Dr Zubaidi Ahmad
Dr Zubaidi Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Cara hidup dan pemakanan masyarakat hari ini menjadi punca berlakunya penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia, kata pengamal perubatan am, Dr Zubaidi Ahmad.

Menurut beliau, sikap sambil lewa orang ramai dalam hal itu memberi kesan kepada kesihatan masyarakat sekeliling.

“Masyarakat hari ini melakukan perubahan kelakuan apabila sudah ramai mula membela haiwan-haiwan yang tidak sepatutnya dibela seperti biawak, ular dan sebagainya yang dikhuatiri mempunyai kuman yang boleh memberi kesan kepada kehidupan kita.

“Begitu juga dengan pemakanan di mana ada dalam kalangan masyarakat mencuba makanan eksotik sedangkan kita tahu ada dalam kalangan haiwan ini berisiko kepada kesihatan.

“Jadi tidak hairanlah sekiranya wabak Covid-19 boleh menular di seluruh negara dan sehingga kini belum ada vaksin ditemui untuk menyembuhkan penyakit itu,” katanya di sini semalam.

Berikutan itu, Dr Zubaidi berkata, pemilihan makanan yang halal serta bernutrisi tinggi penting dalam kehidupan seharian.

“Dalam Islam sendiri kita sememangnya perlu memakan makanan halal selain mempunyai nutrisi yang tinggi. Kita juga perlu memilih makan yang tidak berlebihan iaitu makanan yang memberi tenaga dan merawat tubuh kita.

“Islam juga menitikberatkan soal kebersihan dan dalam amalan seharian kita. Kita sudah terapkan perkara itu melalui wuduk. Lima kali sehari kita membasuh tangan ketika mengambil wuduk untuk menunaikan solat fardu. Selain itu kita turut digalakkan berpuasa dan tidur yang mencukupi bagi meningkatkan daya ketahanan.

Artikel Berkaitan:

“Amalan spiritual seperti bersedekah juga perlu diamalkan. Ada kajian membuktikan manusia yang mengamalkan aktiviti spiritual itu, kadar kesembuhan penyakit lebih tinggi daripada mereka yang tidak mengamalkan amalan itu. Malah sebagai orang Islam, kita perlu meletakkan kebergantungan kita kepada ALLAH SWT agar sentiasa dilindungi,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat, Persatuan Doktor Islam Malaysia (Perdim) berkata, kawalan pergerakan penduduk di zon merah kes positif Covid-19 perlu diperketatkan bagi mengekang penularan wabak itu di kawasan lain.

Ujar beliau, total lockdown atau perintah berkurung lebih praktikal supaya pihak keselamatan dapat fokus kepada sesuatu kawasan dan penugasan pengawalan yang lebih spesifik.

“Ini adalah pandangan peribadi saya apabila ada jangkitan penyakit berlaku di zon merah, kerajaan perlu perketatkan lagi langkah-langkah keselamatan. Tidak ada aktiviti keluar masuk dibenarkan di kawasan berkenaan bagi mengekang penularan Covid-19,” katanya.