Tongod bukan lagi zon hijau

Masidi Manjun
Masidi Manjun
A
A
A

KOTA KINABALU - Satu-satunya daerah di Sabah yang sebelum ini bebas daripada jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) akhirnya dikategorikan sebagai zon kuning selepas satu kes baharu dikenal pasti di Tongod hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Sabah hari ini mencatat sebanyak 352 kes baharu positif Covid-19 dengan jumlah kumulatif sebanyak 14,053 kes.

"Hari ini Tongod mencatatkan satu kes dan bertukar ke zon kuning," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut berkata, Sabah juga turut mencatat dua kluster baharu iaitu di Lahad Datu dan Kota Belud.

"Pada hari ini terdapat dua kluster baharu iaitu Kluster Sakti di Lahad Datu mencatat sebanyak tujuh kes dan ini merupakan kluster di kilang sawit.

"Kluster Tuguson di Kota Belud mencatat sebanyak empat kes yang berpunca daripada Majlis Serah Tugas," katanya.

Masidi dalam pada itu memaklumkan, Kota Kinabalu hari ini mencatat sebanyak 96 kes, diikuti Tawau (71), Sandakan (46), Tuaran (28), Lahad Datu (22) dan Penampang (19).

Keningau dan Semporna pula masing-masing mencatat 17 kes, selain Papar (15), Kota Belud (10), Putatan (3), Beaufort dan Kinabatangan masing-masing dua kes dan Tambunan, Telupid, Pitas serta Tongod masing-masing catat satu kes.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Masidi turut memaklumkan terdapat penambahan dari segi kapasiti katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) hari ini iaitu sebanyak 622 katil.

"Ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan katil adalah sebanyak 7,859 katil.

"Penambahan ini merangkumi Penjara Tawau iaitu 500 katil, PKRC Pusat Kebudayaan Penampang sebanyak 93 Katil dan Rumah Rehat Kudat sebanyak 29 katil," katanya.