Bekerja dari rumah tidak semudah disangka

No Image Caption
A
A
A

KONSEP bekerja dari rumah nampak mudah, namun realitinya pelbagai cabaran perlu dihadapi untuk melaksanakan tanggungjawab diamanahkan, lebih-lebih lagi dengan fasiliti yang terbatas.

Bagi penulis, mereka yang mendapat ‘keistimewaan’ untuk bekerja dari rumah dalam situasi negara berdepan pandemik koronavirus (Covid-19) bukan sahaja memerlukan kekuatan mental, malah turut menuntut disiplin tinggi bagi melaksanakan tugasan seharian lebih-lebih lagi bagi wanita yang mempunyai anak.

Bukan itu sahaja, individu yang mendapat kebenaran majikan untuk bekerja dari rumah juga perlu memastikan ketersediaan teknologi khususnya capaian internet yang tinggi bagi memastikan kerja-kerja yang dilakukan tidak tergendala, selain mampu menyediakan ruang komunikasi dua hala bersama rakan sekerja yang lain.

Sebelum ini mereka tidak perlu memikirkan semua itu kerana segala kemudahan tersebut tersedia di tempat kerja dengan suasana yang kondusif, sekali gus mampu meningkatkan produktiviti dan fokus terhadap kerja-kerja harian di pejabat.

Walaupun ramai beranggapan bekerja dari rumah lebih mudah dan menjimatkan, namun ada segelintir yang mengakui bekerja dari rumah menambahkan lagi bebanan dan adakala memberi lebih tekanan apabila satu-satu kerja tergendala disebabkan pelbagai gangguan terutama capaian internet dan gangguan persekitaran termasuklah terpaksa menguruskan anak-anak ketika bekerja di rumah.

Malah, penulis juga ada bertanyakan isu tersebut kepada beberapa kenalan yang sememangnya perlu bekerja dari rumah ketika kerajaan mula mengenakan tinda-kan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Mereka mengakui terpaksa akur dengan keputusan tersebut walaupun hakikatnya sesetengah majikan masih belum bersedia sepenuhnya dengan cara kerja norma baharu.

Peluang

Artikel Berkaitan:

Kata mereka, bukan sahaja majikan, pekerja-pekerja termasuk kakitangan agensi-agensi kerajaan juga masih belum dapat menyesuai-kan diri dengan situasi baharu itu, selain kekangan pelbagai faktor sehingga menyebabkan kerja-kerja yang sebelum ini dianggap mudah menjadi sukar serta mengambil masa lama untuk diselesaikan.

Ada juga pekerja yang tidak memahami konsep sebenar bekerja dari rumah, sebaliknya menyifatkan arahan itu adalah peluang buat mereka untuk bercuti dan duduk di rumah sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada majikan.

Ada yang mengambil peluang kebenaran bekerja dari rumah untuk melakukan kerja-kerja lain yang memberi manfaat kepada diri sendiri berbanding melakukan kerja hakiki yang dituntut majikan.

Keadaan itu menyebabkan berlakunya ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat dan pekerja terutama bagi mereka yang terpaksa bekerja walaupun kawasan mereka telah diisytiharkan sebagai lokasi yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ataupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Justeru, mereka yang diberi kemudahan bekerja dari rumah perlu jujur, bukan sahaja kepada diri sendiri, malah kepada majikan agar peluang itu dapat dimanfaatkan bagi menghasilkan kerja yang lebih sistematik dan terkawal.

Bagaimanapun, apa yang penulis boleh katakan bahawa pengetahuan dan kefahaman tentang konsep bekerja dari rumah perlu dipertingkatkan, bukan sahaja oleh kerajaan, bahkan dalam kalangan majikan itu sendiri untuk bersama-sama memutuskan rantaian pandemik Covid-19 yang belum ada penghujungnya.

Prosedur operasi standard (SOP) bekerja dari rumah juga perlu diberi penelitian.

Kerajaan turut perlu memberi penerangan lebih jelas apabila mengenakan arahan bekerja dari rumah ke atas penduduk di sesebuah lokaliti agar tidak menimbulkan kekeliruan rakyat sebagaimana pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini ketika mengumumkan penguatkuasaan bekerja dari rumah dalam kalangan penduduk Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah susu-lan pelaksanaan PKPB sejak 22 Oktober lalu.

*Zubir Sulaiman ialah Penyunting Meja Pemerolehan Berita Sinar Harian