Budaya YouTube kidfluencer

No Image Caption
A
A
A

SATU kepastian yang nyata tentang pandemik koronavirus (Covid-19) adalah kanak-kanak menghabiskan banyak masa dengan melihat YouTube. Mungkin ada ibu bapa atau penjaga yang menyangka YouTube boleh membantu perkembangan kanak-kanak secara berkesan.

Wartawan terkenal, Jonathan Chadwick baru-baru ini meluahkan kebimbangannya tentang usaha dilakukan pihak tertentu termasuk ibu bapa dalam melahirkan satu istilah baharu iaitu YouTube kidfluencer. Wujud fenomena ada kanak-kanak dibayar berjuta-juta dolar bagi mempromosi makanan ringan (junk food) dan minuman bergula (sugary drinks).

Ada juga yang mendesak ibu bapa atau penjaga mereka membeli barangan tersebut hampir setiap hari. Fenomena itu adalah rentetan promosi dilakukan YouTube kidfluencer menerusi video dimuat naik dalam YouTube.

Penulis sudah menjangka Covid-19 akan menjadi pentas kejayaan kepada sang oportunis yang sanggup melakukan apa sahaja bagi meraih keuntungan lumayan. Aspek nilai murni tidak lagi dipedulikan. Kertas kerja terbitan Jurnal Pediatrics, tulisan Profesor Marie Bragg daripada Jabatan Pemakanan Kesihatan Awam, Pusat Perubatan Langone, Universiti New York Amerika Syarikat menyebut YouTube kidfluencer memperoleh berbilion ringgit menerusi promosi songsang berkenaan.

Penipuan

Cara terbaharu itu juga ada unsur penipuan seperti yang digunakan scammer untuk memasarkan barangan junk food kepada kanak-kanak yang berselindung di sebalik ‘mesra kanak-kanak’ bermain peralatan kanak-kanak. Usaha itu sebenarnya bertopengkan pendidikan sambil makan makanan ringan tersebut. Bragg menyebut hampir 43 peratus video paling popular adalah mempromosi makanan dan minuman. Perangkaan terbaharu membuktikan 90 peratus daripadanya pengiklan makanan segera dan minuman bergula dikuasai lima video kidfluencer.

Penulis difahamkan sepasukan penyelidik Britain yang diketuai Dr David Armstrong daripada Universiti Warwick mendapati paparan pengiklanan makanan ringan sering berorientasikan habuan keuntungan dengan kanak-kanak berumur antara lapan dan 15 tahun diekploitasikan oleh ibu bapa sendiri.

Ada ibu bapa menggunakan teknologi kejuruteraan aplikasi yang canggih demi memastikan YouTube kidfluencer sentiasa berada pada tangga teratas YouTube. Usaha dilakukan berterusan bagi memastikan kanak-kanak mudah mengakses video berkenaan. Kajian penulis turut mendapati ada pihak tertentu menggunakan algoritma kecerdasan buatan (AI) untuk menganalisis data-data menjurus kepada faktor keunikan atau kelainan kehendak dan kegemaran penonton (viewer) menggunakan sistem Kepler dan Transiting Exoplanet Survey Satellite (TESS). Ia seterusnya dibangunkan menjadi sistem pembelajaran mesin atau machine learning system mengikut kehendak secara tersembunyi.

Artikel Berkaitan:

Ironinya, ada ibu bapa yang merakam kegiatan kidfluencer ketika meninjau mainan, merayakan ulang tahun dengan mencuba makanan ringan. Mereka dibayar lumayan oleh pengiklan. Fakta menunjukkan Ryan Kaji - kanak-kanak berusia sembilan tahun kelahiran Texas, Amerika, meraih pendapatan lumayan daripada pengiklan makanan ringan itu. Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, Ryan Kaji mengumpul pendapatan sekitar US$26 juta (RM108 juta) kerana memuat naik video YouTube kidfluencer dengan nama ‘Ryan’s World’ memapar jenama McDonald.

Menyedari promosi itu mempunyai kesan negatif yang mendalam, Britain telah mengehadkan iklan makanan ringan dan minuman bergula di TV sehingga jam 9 malam sahaja. Namun, syarikat-syarikat pengeluar produk tersebut sanggup memperuntuk perbelanjaan dianggar melebihi RM7.7 bilion bagi meningkatkan pengiklanan dalam talian secara dramatik sebagai tindak balas terhadap penggunaan media sosial seperti YouTube.

Google secara terbuka melarang iklan makanan ringan dipapar pada platform sesawangnya kepada kanak-kanak di bawah umur 15 tahun. Dasar larangan itu berkuat kuasa pada 6 Oktober lalu termasuk makanan dan minuman mengandungi lemak, garam dan gula tinggi.

Dalam laporan berbeza, Akademi Perubatan Nasional (NAM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenal pasti pemasaran makanan perosak itu sebagai penyebab utama kegemukan kanak-kanak sehingga menyebabkan obesiti.

Kesimpulannya, penulis menyarankan kerajaan agar segera menubuhkan pasukan penyelidik bagi membentuk sistem teknologi pengawalan dan keselamatan siber berasaskan teknologi AI untuk membanteras penularan YouTube Kidfluencer di Malaysia. Budaya mempopularkan gaya hidup berasaskan makanan ringan dan minuman bergula demi meraih keuntungan besar mesti segera dihentikan.

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteran Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor