Sila log masuk terlebih dahulu.

Atlet negara perlu dilindungi insurans perubatan

No Image Caption
A
A
A

KERAJAAN perlu mengkaji cadangan memberikan perlindungan insurans perubatan percuma kepada atlet-atlet kebangsaan yang telah banyak berkorban dalam membawa kejayaan kepada negara di arena antarabangsa.

Presiden Persatuan Olimpian Malaysia (MOA), Karu Selvaratnam berkata, tidak ramai bekas atlet kebangsaan termasuk yang pernah mewakili negara dalam sukan Olimpik, dapat hidup dengan selesa selepas bersara di samping tidak mampu untuk menampung perbelanjaan perubatan yang semakin meningkat.

“Lagipun mereka telah berlatih bersungguh-sungguh dalam usaha membawa kejayaan dan menjadi kebanggaan negara dengan memenangi pingat serta memainkan lagu kebangsaan dalam acara-acara antarabangsa. Mungkin kerajaan boleh menetapkan kriteria kelayakan tertentu seperti sekurang-kurangnya telah lima tahun mewakili negara.

“Negara-negara seperti Sri Lanka telah mengambil langkah itu dengan memberikan perlindungan perubatan kepada bekas Olimpian. Kerajaan perlu melihat perkara ini. Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) sememangnya membantu, tetapi dana yang ada tidak mencukupi untuk memberi perlindungan perbelanjaan perubatan yang tinggi,” katanya.

Sementara itu, Karu mengesahkan tidak akan bertanding mempertahankan jawatannya dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) MOA pada 22 November ini kerana ingin memberi peluang kepada generasi muda mengetuai persatuan itu.

Karu yang telah menjadi presiden sejak 2016 berkata, telah sampai waktunya untuk beliau berehat selepas hampir 45 tahun terlibat secara sukarela dalam aktiviti berkaitan sukan sejak bersara sebagai atlet aktif, termasuk menghidupkan kembali persatuan daripada pembatalan pendaftaran.

“Ketika diminta untuk aktif semula dalam MOA pada 2014, saya bersetuju tanpa mengetahui persatuan itu telah dibatalkan pendaftarannya akibat tidak aktif selama beberapa tahun. Kami kemudiannya menubuhkan jawatankuasa interim dan akhirnya berjaya mengadakan AGM pada Jun 2016.

“Pada 2018, saya telah bersetuju terus memegang jawatan itu selepas diminta untuk kekal dua tahun lagi sehingga dapat mencari pengganti tapi sekarang, saya telah membuat keputusan untuk mengundurkan diri, masa untuk menyerahkan tanggungjawab kepada seseorang yang lebih muda dengan idea baharu untuk membawa MOA ke tahap seterusnya,” kata bekas atlet Olimpik berusia 79 tahun itu.

Artikel Berkaitan:

Dengan tarikh pencalonan yang akan ditutup pada 5 November ini, bekas atlet lari berpagar Noraseela Mohd Khalid dikatakan akan dicabar oleh bekas pelumba basikal negara Josiah Ng untuk merebut jawatan tertinggi persatuan itu.

Karu yang merupakan bekas atlet dan pemain kriket yang telah mewakili negara dalam acara lumba lari berpagar 400m dan lari berganti-ganti 4x400m pada Olimpik Tokyo 1964, berharap jawatankuasa baharu yang akan dipilih nanti mampu membawa persatuan ke tahap yang lebih tinggi.

“Saya mendoakan yang terbaik, semoga bekas Olimpian akan membuat keputusan yang baik dalam memilih siapa yang akan menerajui MOA untuk tempoh dua tahun ini. Jawatankuasa baharu seharusnya perlu melihat bagaimana cara untuk memasarkan persatuan itu dan meningkatkan nilainya, supaya lebih banyak perkara boleh dilakukan terutama dalam usaha membantu ahli-ahli,” katanya.

Antara kejayaan Karu ketika berada dalam MOA adalah meningkatkan bilangan ahli dan meyakinkan bekas Presiden Majlis Olimpik Malaysia (OCM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar agar badan induk itu membayar yuran keahlian kepada semua bekas Olimpian, sejak Olimpik Rio 2016 untuk menjadi ahli seumur hidup MOA. - Bernama