X

Kindly register in order to view this article
!

Jawatan bukan untuk diminta

A
A

DARIPADA Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kalian akan bersungguh-sungguh menginginkan jawatan, sedangkan jawatan itu akan menjadi sesalan pada hari kiamat (jika tidak dijalankan dengan baik).” (Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis tersebut, Rasulullah SAW memberi peringatan kepada kita agar tidak memburu jawatan kerana jawatan yang dikejar itu akan membawa penyesalan di akhirat nanti.

Bukan semua orang mampu menjalankan tanggungjawab yang dipikul dengan baik. Ramai pada hari ini berebut-rebut untuk jadi pemimpin dan sanggup melakukan apa sahaja demi membolot jawatan diingini meskipun mereka tidak mempunyai kelayakan.

Perebutan itu menggambarkan bahawa mereka cintakan dunia sehingga lupa untuk memikirkan akibatnya di akhirat nanti jika mereka gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

Apa yang mereka nampak adalah habuan dunia. Mereka inginkan kuasa kerana dengan kuasa mereka boleh menguasai segala-galanya. Mereka terlalu tamak untuk membolot kekayaan dengan cara meminta-minta bagi memegang jawatan tertentu.

Rasulullah SAW telah menunjukkan kepada kita bahawa baginda tidak akan melantik orang yang meminta jawatan. Ia digambarkan dalam sebuah hadis.

Baginda pernah menasihati dua sahabat melalui satu riwayat seorang sahabat yang berkata: “Aku dan dua orang lelaki daripada kaumku telah bertemu Nabi SAW. Salah seorang daripada dua lelaki berkenaan berkata: Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulullah. Seorang lagi juga berkata demikian. Lalu baginda bersabda: Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Itulah panduan Rasulullah SAW telah tinggalkan kepada kita dalam menentukan siapakah yang layak untuk dilantik sebagai pemimpin.

Ia sudah cukup untuk memberitahu kita bahawa kita tidak boleh menerima seseorang menjadi pemimpin jika jawatan tersebut bukan diperoleh melalui lantikan. Seseorang yang menjadi pemimpin hasil daripada permintaannya, dia tidak akan tunaikan tanggungjawabnya dengan amanah.

Akan tetapi, jika sesuatu jawatan itu diberi kepada mereka yang tidak pernah bercita-cita terhadapnya, apatah lagi untuk melobi dengan pelbagai cara, nescaya amanah yang diberikan itu akan ditunaikan dengan baik.

Orang yang bertaqwa dan takutkan hari akhirat sahaja yang tidak akan meminta-minta untuk menjadi pemimpin kerana mereka sedar beratnya tanggungjawab seorang pemimpin.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab rakyat untuk memastikan pemimpin mereka terdiri daripada orang yang tidak meminta-minta jawatan tersebut.

Mereka seharusnya menolak mana-mana individu yang begitu bersungguh-sungguh melobi dirinya agar dilantik menjadi pemimpin.

Rasulullah SAW ketika memberi pesanan kepada Abdul Rahman agar tidak meminta jawatan telah memberi amaran bahawa jika jawatan itu diperoleh dengan cara meminta, dia akan ditinggalkan dan tidak akan dibantu oleh manusia, apatah lagi ALLAH SWT.

Justeru, kita hendaklah mengutamakan pemimpin yang tidak pentingkan diri tetapi mereka yang akan bekerja untuk rakyat.

Pemimpin yang kita kehendaki adalah yang berusaha untuk memakmurkan negara dan bukan yang menghancurkan negara, yang berusaha memastikan rakyatnya tidak menderita dan yang berlaku adil kepada semua, yang mengundang rahmah ALLAH dan bukannya yang mengundang kemurkaan ALLAH.

Akhir kalam, marilah kita mengikut panduan yang telah diberikan Rasulullah SAW agar meminggirkan orang yang meminta jawatan daripada bari-san pemimpin kita.

*Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!