Enam anggota polis akan dituduh lakukan pemerasan

Razali Abu Samah
Razali Abu Samah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Enam anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang yang ditahan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan berhadapan tuduhan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan pemerasan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum ia dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan termasuk proses pertuduhan.

"Kesemua anggota terbabit kini ditempatkan di penugasan bahagian pentadbiran sementara siasatan lanjut ke atas mereka dijalankan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Razali berkata, pada masa ini siasatan secara terperinci sedang dijalankan dan selepas mereka dituduh, tindakan tahan kerja akan diambil oleh Bahagian Integriti Pematuhan Standard (BIPS) IPD Serdang terhadap mereka sehingga keputusan daripada mahkamah dikeluarkan.

"Selain itu, kita juga sedang menunggu laporan patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) berhubung salah seorang dari enam anggota terbabit yang didapati positif dadah.

"Sekiranya masih positif, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan melakukan siasatan lanjut bagi mendapatkan maklumat secara lebih tepat mengenai aktiviti pemerasan yang wujud dalam kalangan pegawai dan anggotanya.

Razali yang baharu dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Serdang semalam turut mengulangi tekadnya untuk melakukan 'pembersihan dalaman' membabitkan semua pegawai dan anggota di IPD Serdang supaya tidak terbabit dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang.

Artikel Berkaitan:

"Tumpuan saya adalah membersihkan 'rumah kami' (IPD Serdang) daripada memastikan keyakinan dan kepercayaan masyarakat di sini kepada polis berada pada tahap terbaik," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Enam anggota polis disyaki terlibat kegiatan pemerasan

Terdahulu Razali mengesahkan penahanan enam anggota berpangkat Koperal, Lans Koperal dan Konstabel itu oleh sepasukan pegawai dari JIPS Bukit Aman selepas disyaki melakukan pemerasan terhadap orang awam di sekitar kawasan The Mines dan Balakong.

Dalam pemeriksaan itu, JIPS menemui wang tunai RM900 disyaki hasil dari pemerasan terhadap orang ramai yang diperiksa.