Pekerja MDKP dakwa dipukul ketika bertugas

Mohd Faizal (kiri) bertemu dengan kakitangan berkenaan di Kuala Pilah kelmarin dan menyerahkan sumbangan peribadi.
Mohd Faizal (kiri) bertemu dengan kakitangan berkenaan di Kuala Pilah kelmarin dan menyerahkan sumbangan peribadi.
A
A
A

KUALA PILAH - Seorang kakitangan Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) membuat laporan polis kerana mendakwa dikasari orang awam ketika melaksanakan tugas di pekan ini pada 14 Oktober lalu.

Yang Dipertua MDKP, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, kakitangan wanita terbabit merupakan pembantu awam rendah daripada Unit Tempat Letak Kereta.

"Ketika kejadian, pekerja itu dimarahi dan dikasari oleh seorang lelaki yang tidak berpuas hati kerana dikenakan notis kompaun terhadap kesalahan meletak kereta.

"Lelaki berkenaan telah memukul pekerja itu pada bahagian belakang badan. Susulan itu, satu laporan polis mengenai kejadian tersebut telah dibuat pada hari sama," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Mohd Faizal berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya bagi menjamin keselamatan petugas MDKP yang bertugas di lapangan.

"Adalah diingatkan kepada orang ramai bahawa sebarang perbuatan mengasari penjawat awam dalam melaksanakan tugasan adalah satu kesalahan serius dan boleh didenda dan dipenjarakan di bawah Kanun Keseksaan dan Undang-Undang Majlis.

"Mereka (penjawat awam) adalah insan biasa yang mempunyai keluarga mencari rezeki yang halal berkhidmat demi negara. Maka saya mohon agar semua pihak hormatilah mereka.

" Sehubungan itu,saya ingin tekankan bahawa tiada kompromi bagi mereka yang bertindak kasar ke atas penjawat awam apatah lagi golongan wanita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Faizal juga difahamkan menyerahkan sumbangan peribadi kepada kakitangan terbabit sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kerana menjalankan tugas dengan baik.

Beliau turut berharap kakitangan berkenaan akan bersemangat untuk bertugas dengan cemerlang.