X

Kindly register in order to view this article
!

Enam anggota polis disyaki terlibat kegiatan pemerasan

Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman menahan enam anggota polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pemerasan ke atas orang awam di sekitar kawasan The Mines dan Balakong, semalam.
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman menahan enam anggota polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pemerasan ke atas orang awam di sekitar kawasan The Mines dan Balakong, semalam.

Menurut sumber, mereka terdiri daripada Koperal, Lans Koperal dan Konstabel itu ditahan dalam pemeriksaan mengejut oleh sepasukan polis JIPS Bukit Aman, selepas menerima aduan daripada orang awam.

"Dalam satu Operasi Pematuhan Proaktif Pemeriksaan Integriti Covid-19, oleh JIPS Bukit Aman pada jam 2 petang, mendapati enam anggota terbabit sedang menjalankan pemeriksaan di Jalan Besar The Mines/Balakong," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan pemerhatian, salah seorang anggota polis menahan seorang penunggang motosikal yang juga penghantar makanan terlalu lama sehingga memperlihatkan situasi yang mencurigakan.

"Pasukan JIPS membuat pemeriksaan terhadap semua anggota terbabit pada jam 3.25 petang, selain menemubual penunggang motosikal yang juga mangsa kes pemerasan terbabit yang pada ketika itu masih ditahan.

"Mangsa mendakwa dia ditahan kerana menunggang motosikal tanpa lesen serta menggunakan identiti penghantar makanan orang lain," katanya.

Menurutnya, anggota polis yang menahannya telah mengeluarkan gari untuk menakutkan mangsa selain turut bertanya kepada penunggang itu cara untuk dia menyelesaikan kes berkenaan.

"Anggota terbabit meminta mangsa menunggu sementara dia berbincang dengan ketua anggota cara untuk menyelesaikan kes.

"Pada mulanya anggota itu meminta wang sebanyak RM700, namun mangsa menyatakan hanya mempunyai wang sebanyak RM500 sahaja, sebelum anggota itu mengambil wang berkenaan," katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian mengecam anggota polis yang mengambil wang miliknya kerana memakai pelitup muka berwarna merah.

"Dalam pemeriksaan itu, JIPS menemui wang tunai RM900 disyaki hasil daripada pemerasan terhadap orang ramai yang diperiksa.

"Selain dalam poket pakaian mereka, sebanyak RM500 wang tunai dipercayai milik penunggang motosikal penghantar makanan ditemui disembunyikan dalam poket belakang tempat duduk penumpang hadapan sebuah kereta peronda polis," katanya.

Tambah beliau, anggota polis itu juga didapati menjalankan penugasan di luar kawasan sektor dibenarkan.

"Kesemua anggota terbabit ditangkap dan menjalani ujian air kencing serta salah seorang daripada mereka didapati positif dadah," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!