Padah menyamar pegawai AADK

Abdul Rozak
Abdul Rozak
A
A
A

BESUT - Polis menahan empat lelaki tempatan yang menyamar sebagai pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dengan meminta sejumlah wang daripada empat individu termasuk seorang remaja perempuan berusia 19 tahun, di Pantai Bukit Keluang di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, semua suspek berusia di antara 20 hingga 24 tahun ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sekitar daerah ini antara jam 7.30 pagi hingga jam 10 pagi tadi.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, kesemua suspek yang menaiki sebuah kereta Perodua Axia dikatakan menghampiri sekumpulan individu dan memperkenalkan diri sebagai pegawai AADK.

"Kemudian, mereka meminta semua mangsa menyerahkan kad pengenalan dan mengambil gambar dengan alasan untuk pemeriksaan lanjut.

"Sementara itu, dua daripada suspek dikatakan membawa dua rakan mangsa dengan kereta mereka dan dua lagi suspek menunggu di lokasi.

"Beberapa minit kemudian, salah seorang daripada suspek memberitahu mangsa yang dia perlu membayar sejumlah wang bagi melepaskan mereka semua," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sementara itu katanya, susulan laporan dibuat mangsa, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut melakukan tiga serbuan di lokasi berasingan termasuk di Kampung Bukit Keluang dan Kampung Raja di sini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesemua suspek mengaku melakukan jenayah itu dan dua daripadanya turut memiliki rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan termasuk kes dadah.

Artikel Berkaitan:

"Hasil ujian saringan air kencing seorang suspek berusia 22 tahun positif dadah jenis methamphetamine.

"Kesemua suspek kini ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar penjawat awam," katanya.