Agong, Permasiuri ucap takziah kepada keluarga mendiang Fernandez

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengucapkan takziah kepada keluarga Pendeta Kardinal Anthony Soter Fernandez yang meninggal dunia semalam.

Istana Negara menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa simpati kepada keluarga, insan tersayang dan masyarakat Roman Katolik serta berharap mereka bersabar dan kuat menghadapi masa sukar serta menyedihkan itu.

“Seri Paduka Baginda mengiktiraf legasi dan sumbangan Fernandez sepanjang perkhidmatannya kepada negara dan rakyat Malaysia.

“Pemergian mendiang satu kerugian besar bagi masyarakat Roman Katolik dan negara,” kata hantaran tersebut.

Fernandez merupakan Kardinal Roman Katolik pertama di negara ini dan juga Presiden Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh serta Taoisme sejak 2001 hingga 2003.

Fernandez yang dilahirkan di Sungai Petani, Kedah itu menjadi Uskup Pulau Pinang pada 1978 dan seterusnya sebagai Uskup Agung kedua di Keuskupan Agung Kuala Lumpur pada 1983.

Pada 2016, beliau dilantik sebagai kardinal oleh Pope Francis dan terkenal dalam membela hak asasi manusia, orang miskin dan terpinggir.

Semalam, Fernandez meninggal dunia pada usia 88 tahun akibat kanser lidah.

Artikel Berkaitan:

Beliau dilaporkan meninggal dunia pada 12.35 tengah di rumah warga emas, Little Sisters Of The Poor di Cheras, tempat beliau menjalani rawatan paliatif.