Boikot barangan Perancis tindakan wajar: Mufti Negeri Sembilan

Mohd Yusof (dua dari kiri) melihat produk sejuk beku yang terdapat di kedai Misa Frozen di Seremban hari ini.
Mohd Yusof (dua dari kiri) melihat produk sejuk beku yang terdapat di kedai Misa Frozen di Seremban hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Tindakan memboikot barangan buatan Perancis adalah wajar bagi menunjukkan solidariti terhadap Islam serta kemajmukan beragama dalam masyarakat.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, dalam Islam amat menggalakkan untuk umatnya hidup secara harmoni termasuk dalam masyarakat yang mempunyai agama berlainan.

"Jika ada pihak yang melakukan penghinaan terhadap agama, umat Islam juga patut untuk menunjukkan kemuliaan diri mereka dengan memberikan tindak balas yang setimpal ke atas penghinaan yang telah berlaku.

"Dalam al-Quran juga ada menyatakan bahawa jika seseorang itu melakukan permusuhan, maka patut juga dia diberikan balasan kepada permusuhan yang sama," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan kedai halal Misa Frozen di Seremban 2 di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Mohd Zaidi Ramli; Pengerusi Abumie Holdings, Datuk Shamsul Najmi Shamsuddin dan Pengarah Urusan Abumie Holdings, Mohd Shuhaimi Abu.

Mohd Yusof berkata demikian sebagai mengulas seruan pelbagai pihak supaya umat Islam di negara ini memboikot barangan buatan Perancis.

ARTIKEL BERKAITAN: Jakim kesal tindakan provokatif Charlie Hebdo

Ia susulan susulan kenyataan Presiden negara itu, Emmanuel Macron yang menyifatkan Islam adalah punca kepada semua krisis yang berlaku di dunia ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Macron membuat kenyataan itu selepas insiden pembunuhan guru lelaki yang dipenggal kerana menunjukkan karikatur Nabi Muhammad SAW di Paris baru-baru ini.

Sementara itu, Mohd Yusof berkata, perbincangan boleh dilakukan supaya keadaan tidak menjadi lebih buruk.

"Namun, sejauh mana untuk kita melakukan pemulauan perniagaan orang lain itu terpulanglah kepada keadaan sama ada boleh mendatangkan kesan ataupun tidak.

"Kadang-kadang apa yang kita lakukan hanya untuk menunjukkan kemarahan kita sahaja tetapi tidak memberikan kesan yang jelas. Tetapi kalau sekiranya itu sahaja jalan yang boleh menunjukkan harapan supaya orang menghormati kehidupan sesama manusia, tindakan memboikot barangan pihak musuh itu adalah sesuai," katanya.