X

Kindly register in order to view this article
!

Lelaki maut rumah sewa terbakar

Kebakaran rumah sewa yang menempatkan lima mangsa di Lebuh Melaka, Georgetown pagi tadi.
A
A

GEORGETOWN - Seorang maut dalam kebakaran membabitkan dua unit rumah kedai dua tingkat kelas A di Lebuh Melaka di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, seorang lelaki disahkan meninggal dunia, manakala empat lagi selamat bagaimanapun melecur di beberapa bahagian badan.

Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Saladin Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6 pagi berhubung kejadian berkenaan.

Menurutnya, pihaknya diberitahu bahawa terdapat lima orang dalam rumah tersebut yang mana empat orang berjaya diselamatkan, manakala seorang sudah meninggal dunia.

"Dua buah rumah kedai berkeluasan 20 X 60 kaki persegi itu musnah 100 peratus. Dua lelaki dan dua wanita berjaya diselamatkan manakala seorang mangsa lagi telah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Saladin berkata, operasi tersebut turut dibantu anggota dari BBP Lebuh Pantai.

"Punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong yang mengesahkan kejadian tersebut berkata, kesemua mangsa merupakan warga Indonesia.

"Kesemua mangsa berusia 40-an kecuali yang meninggal dunia kerana kita belum menerima maklumat mengenai mangsa. Seorang wanita mengalami melecur 60 peratus pada badan dan seorang lelaki patah tangan.

"Dua lagi mangsa iaitu lelaki dan wanita hanya mengalami cedera ringan. Semua mangsa yang cedera masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang, sementara mayat mangsa akan dibedah siasat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Soffian berkata, rumah tersebut disewa oleh seorang wanita untuk menempatkan dua orang pekerjanya yang bekerja di pusat urut.

"Dua lelaki Indonesia yang berada di kediaman tersebut merupakan teman lelaki kepada dua wanita tersebut, manakala seorang lagi adalah kenalan mereka.

"Kita sedang menyiasat dokumen perjalanan kesemua mangsa kerana dikatakan semua dokumen pengenalan turut hangus dalam kebakaran tersebut. Kita akan dapatkan pengesahan dari Kedutaan Indonesia," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!