Tindakan tegas nelayan guna bahan terlarang

Ahmad Tarmizi Sulaiman
Ahmad Tarmizi Sulaiman
A
A
A

SIK - Kerajaan digesa mempertingkatkan penguatkuasaan dan kawalan tegas bagi mengekang nelayan yang menggunakan bahan terlarang seperti bom, bubu haram dan renjatan elektrik untuk menangkap ikan.

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, ramai nelayan bimbang kesan penggunaan bahan itu akan mengganggu pembiakan ikan serta menjejaskan pendapatan nelayan darat khususnya di Tasik Gubir.

"Mereka juga mencadangkan supaya kerajaan meningkatkan jumlah bantuan sara hidup nelayan darat iaitu RM300 sebulan seperti yang diperoleh nelayan laut," katanya ketika Majlis Ramah Agensi Bersama Komuniti Nelayan di Dataran Tasik Gubir kelmarin.

Hadir sama merasmikan majlis, Exco Pertanian dan Industri Makanan, Azman Nasruddin.

Ahmad Tarmizi juga memberitahu, pembalakan juga menjejaskan kualiti air kerana limpahan pasir menyebabkan tasik menjadi cetek.

"Keadaan ini turut memberi kesan kepada pendapatan nelayan di sini," katanya.

Sementara itu, Azman berkata, agensi berkaitan akan mempergiatkan usaha penguatkuasaan bagi mengawal kemasukan nelayan luar termasuk memantau penggunaan bahan larangan.

"Saya juga meminta nelayan yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan mencurigakan supaya tampil berhubung dengan agensi berkaitan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga memaklumkan permohonan berhubung kenaikan elaun bulanan nelayan darat akan dibawa ke pengetahuan pihak kementerian untuk tindakan lanjut.

Pada majlis itu, seramai 40 nelayan menerima sumbangan pukat dan bakul makanan bernilai RM13,000 oleh Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sik dan pemberian jaket keselamatan oleh Jabatan Perikanan Kedah.

Sebelum majlis berakhir, sebanyak 8,000 anak ikan lampam dilepaskan ke sungai ke dalam Tasik Gubir manakala 22,000 ekor anak ikan lagi akan dilepaskan penghujung tahun ini.