X

Kindly register in order to view this article
!

Azhar Azizan digesa segera lantik Ahli PAC

Wong Kah Woh
A
A

KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun diminta melantik Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dengan segera iaitu ketika hari pertama Sidang Parlimen pada 2 November ini.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, pelantikan itu penting untuk memastikan jawatankuasa tersebut dapat berperanan semula selepas tertangguh sejak Mac lalu.

"Saya berharap Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Jawatankuasa Pilihan Parlimen dapat memandang serius perkara ini dan masalah yang dihadapi oleh PAC sekarang.

"Walaupun Pengerusi dan Timbalan Pengerusi PAC sudah dilantik dalam Sidang Parlimen pada 27 Ogos lalu, mesyuarat PAC yang tergendala sejak Februari masih tidak dapat dijalankan memandangkan ahli PAC masih belum dilantik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Ipoh Timur itu berkata, beliau juga sudah menulis surat kepada Azhar Azizan minggu lalu tentang permohonan untuk segera membuat pelantikan berkenaan.

Kah Woh berkata, Parlimen tidak seharusnya berlengah-lengah dalam pelantikan tersebut kerana jika keadaan itu berterusan, PAC mungkin 'dicutikan' sehingga November.

"PAC perlu menebus semula waktu yang hilang. Sejak beberapa minggu lalu, saya bersama Sekretariat PAC sudah berbincang berkenaan dengan kes tertangguh dan mengatur jadual PAC untuk bermesyuarat sejurus selepas Parlimen bersidang semula dengan pelantikan ahli-ahli PAC.

"Taklimat pertama PAC dijadualkan pada 3 November iaitu hari kedua sesi Parlimen dan disambung dengan urusan lain," katanya.

Menurut beliau, PAC bercadang untuk membentangkan satu laporan pada minggu pertama Parlimen dan satu lagi laporan pada minggu kedua.

Jelasnya, PAC yang efektif dan efisien penting untuk Parlimen dalam memainkan peranan semak dan imbang dalam pentadbiran eksekutif.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!